Kenaikan bantuan golongan sasar KPWKM hasil lawatan PM – Rina Harun
PUTRAJAYA,. Kanak kanak, warga emas dan mereka yang sakit terlantar adalah antara kira-kira 400,000 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan mendapat manfaat daripada bantuan bulanan yang dinaikkan dalam Belanjawan 2021.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kerajaan memutuskan untuk meningkatkan jumlah bantuan bulanan itu hasil lawatan ‘turun ke bawah’ para pemimpin termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beliau sendiri.
“Keprihatinan kerajaan dalam memelihara kebajikan golongan yang terkesan dapat dilihat apabila KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) menerima peningkatan peruntukan bagi golongan sasar.
“Dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup, kadar pendapatan garis kemiskinan baharu, peningkatan peruntukan golongan sasar sangat membantu (menangani) bebanan kewangan golongan ini,” katanya dalam sidang media pasca pembentangan Belanjawan 2021 kementeriannya di KPWKM di sini kelmarin.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lepas, KPWKM menerima peruntukan mengurus dan pembangunan RM2.58 bilion, iaitu peningkatan 6.24 peratus daripada peruntukan tahun 2020.
Selain itu, KPWKM menerima tambahan peruntukan sebanyak RM791 juta untuk inisiatif baharu kementerian termasuk kenaikan kadar bantuan kewangan bulanan persekutuan, yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi KPWKM sebanyak RM3.38 bilion.
Menurut beliau, daripada 400,000 penerima bantuan JKM itu, seramai 27,753 orang adalah pesakit kronik terlantar yang sedang menerima bantuan RM350 sebulan, dan jumlah itu dinaikkan kepada RM500 sebulan di bawah Belanjawan 2021.
“Mereka yang sakit terlantar memerlukan susu khas yang berharga RM80 satu tin dan diharapkan kenaikan bantuan itu dapat meringankan beban
kewangan golongan berkenaan,” katanya, sambil menambah golongan warga emas turut menikmati jumlah kenaikan yang sama.
Bantuan bulanan kanakkanak keluarga miskin yang sebelum ini RM100 seorang dengan kadar maksimum RM450 bagi satu keluarga, kini dinaikkan kepada RM200 seorang bagi kanak kanak berusia enam tahun dan ke bawah, dan menjadi RM150 sebulan bagi kanak kanak berusia tujuh hingga
18 tahun.
Kadar maksimum bantuan bulanan bagi satu keluarga pula meningkat daripada RM450 kepada RM1,000.
Bantuan orang kurang upaya (OKU) tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, manakala bantuan elaun pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.
Rina berkata selain peningkatan bantuan, akan berlaku penambahan dari segi jumlah mereka yang layak memohon dan diluluskan untuk menerima bantuan.
— Bernama