Keperluan bantuan Bank Pembangunan Pelbagai Hala meningkat susulan COVID-19

Keperluan bantuan Bank Pembangunan Pelbagai Hala meningkat susulan COVID-19

KUALA LUMPUR,. Cabaran menangani kesan pandemik COVID-19 menyebabkan peningkatan keperluan dalam kalangan negara membangun termasuk Malaysia, untuk mendapatkan bantuan daripada Bank Pembangunan Pelbagai Hala (MDB).

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, MDB telah menyegerakan penyaluran pinjaman dan perluasan bantuan kewangan konsesi melalui sumber sedia ada dalam menyokong pembangunan serta pembinaan semula negara anggota selain menggerakkan sumber untuk infrastruktur dan pembangunan mampan.

Malaysia merupakan anggota dalam lima MDB iaitu Kumpulan Bank Dunia (WBG), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

Bentuk bantuan berkaitan COVID-19 yang diberikan ialah Program Sokongan Kewangan, Program Pemulihan Hutang, Pembiayaan Perdagangan, Jaminan, Bantuan Teknikal/Nasihat Dasar dan inisiatif lain.

Secara keseluruhan jumlah bantuan yang ditawarkan lima MDB yang dianggotai Malaysia adalah WBG sebanyak US$160 bilion, IMF (US$100 bilion), ADB (US$20 bilion), IsDB (US$2.3 bilion) dan AIIB (US$10 bilion), demikian menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan dalam usaha membendung COVID-19 daripada merebak, kerajaan menguatkuasakan sekatan pergerakan, menutup sementara aktiviti perniagaan, mengehadkan perjalanan antarabangsa serta membataskan aktiviti sosial dan fizikal menyebabkan gangguan ekonomi yang meruncing.

Susulan itu, kerajaan melaksanakan langkah rangsangan untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta membantu peniaga termasuk perbelanjaan tambahan bagi sektor kesihatan serta bantuan pemberian tunai, moratorium pinjaman, jaminan kredit dan insentif cukai.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, ruang fiskal yang terhad bagi kebanyakan kerajaan berkemungkinan tidak mampu menampung pemberian bantuan dan pemulihan untuk tempoh jangka panjang berikutan keadaan ekonomi sedia ada berada dalam persekitaran pandemik.

“Kesan buruk COVID-19 ke atas ekonomi terbukti melalui pengurangan hasil cukai, penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ketidakstabilan aliran modal swasta, pengurangan eksport dan penurunan kiriman wang,” menurut laporan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This