Kerajaan akan tubuhkan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan – Dr Mahathir

PUTRAJAYA,. Kerajaan akan mewujudkan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan bagi menumpukan penciptaan peluang pendapatan ekonomi digital untuk rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majlis itu, dengan diterajui Dr Mahathir, akan juga dianggotai wakil Kementerian Hal Ehwal Ekonomi; Kementerian Kewangan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kemajuan Luar Bandar; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain itu wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pembangunan Usahawan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Sumber Manusia; dan Kementerian Wilayah Persekutuan turut akan berada dalam majlis tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke-30 di Perdana Putra di sini hari ini, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu menumpukan usaha mendapatkan hak pelaksanaannya dan mencatatkan hasil dalam tempoh terdekat mungkin.

“Kementerian dan agensi perlu mewujudkan jalinan dan bekerjasama untuk memastikan penyampaian kepada rakyat. Sebagai pegawai awam, kita mesti memainkan peranan untuk memperoleh kepercayaan rakyat,” katanya.

Semasa sidang media sama, Dr Mahathir mengimbau pengalaman dalam melaksanakan MSC dan menyifatkan apa yang dilakukannya sekarang ialah menghidupkan semula usaha yang beliau telah memulakan dahulu.

“Dulu, kami mewujudkan MSC dan memberi tumpuan kepada teknologi baharu tetapi ketika itu tiada telefon bimbit malah peralatan amat terhad.

“Namun selepas saya berundur selama 15 tahun dan tiada berurusan dengan perniagaan, saya sebaliknya diperkenalkan dengan terma baharu yang saya sendiri tidak faham,” katanya dengan memberi perkataan ‘sandbox’ sebagai contoh.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana ‘sandbox’ turut berada dalam kelengkapan yang amat sofistikated ini,” katanya.

Sejak diwujudkan pada 1996, Dr Mahathir berkata MSC telah mencipta 183,000 pekerjaan bernilai tinggi di hampir 3,000 syarikat dengan jumlah perolehan keseluruhan hampir RM500 bilion.

Dr Mahathir berkata beliau amat berbangga dengan juara teknologi tempatan Malaysia yang kini diiktiraf sebagai peserta global, sebagai contoh, Aerodyne, yang mengkhususkan dalam teknologi berasaskan dron dipacu kecerdasan buatan (AI), yang disenaraikan di kedudukan ketiga dunia.

Beliau berkata tiga syarikat juga telah disenaraikan antara 200 Terbaik di Bawah Satu Bilion 2019 Forbes Asia.

Dr Mahathir berkata pemaju kandungan kreatif digital Malaysia juga merupakan peserta penting dalam dunia animasi dan permainan video dengan beberapa judul diiktiraf antarabangsa termasuk Boboiboy, Upin & Ipin, No Straight Roads, CryptantCrab dan Re:Legend.

“Sudah pasti ada manfaat dalam usaha menarik dan mengguna pakai teknologi baharu, membangunkan bakat teknologi dan memudahkan keterangkuman digital untuk memastikan kemakmuran bersama,” katanya.

Perdana Menteri berkata inisiatif yang dibentangkan dalam mesyuarat hari ini akan terus membangunkan matlamat nasional dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, menggunakan teknologi digital untuk peningkatan sosial dan ekonomi rakyat Malaysia.

“Tapak ujian global bagi AI, analisis data dan realiti berperantara akan dibangunkan oleh kumpulan yang amat bakat, yang menyatukan rakyat, pendidik, industri dan kerajaan ke arah merealisasikan matlamat negara,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )