
Kerajaan baharu Tunisia dapat kepercayaan Parlimen
TUNIS, 2 Sept — Parlimen Tunisia pada Selasa meluluskan barisan kabinet di bawah pimpinan baharu Perdana Menteri, Hichem Mechichi, lapor agensi berita Xinhua.
Terdiri 28 anggota, 25 menteri dan tiga setiausaha negara, kerajaan Tunisia yang baharu itu menerima 134 undi menyokong dan 67 lagi membantah.
Kabinet kali ini dibarisi pemimpin daripada pelbagai latar belakang, termasuk pengurus besar, pakar, ahli akademik serta eksekutif kanan dari sektor pentadbiran dan swasta.
Berucap pada sidang parlimen, Mechichi percaya barisan kepemimpinan baharu itu akan menjadi kerajaan yang cekap dan mampu mencipta perubahan untuk mencapai penyelesaian yang inovatif.
Tambah beliau kerajaan akan berusaha menyelesaikan kemelut kewangan, meningkatkan pencapaian sektor awam, pelaburan dan kuasa beli.
Menurut perlembagaan Tunisia, kabinet baharu memerlukan sekurang-kurangnya sokongan 109 daripada 217 anggota parlimen.
Barisan kabinet Mechichi dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Kais Saied minggu ini.
Sejak Oktober kabinet baharu itu adalah yang ketiga dibentuk.
Pada 10 Januari, kerajaan pimpinan Habib Jemli gagal mendapat kepercayaan, memberi ruang kepada Elyes Fakhfakh untuk membentuk kerajaan baharu sebelum meletakkan jawatan pertengahan Julai lalu.
— BERNAMA