Kerajaan bakal mulakan vaksinasi kepada sektor ekonomi kritikal – Khairy

Kerajaan bakal mulakan vaksinasi kepada sektor ekonomi kritikal – Khairy

PUTRAJAYA,. Kerajaan akan memulakan pemberian vaksin kepada sektor ekonomi kritikal terutama yang perlu beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam masa terdekat, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan bekerjasama dengan anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Protect Health Corporation Sdn Bhd untuk menguruskan pengendalian suntikan vaksinasi kepada sektor itu.

Dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, Khairy berkata sektor industri yang terlibat ialah pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga, utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

“Setelah melihat kepada penularan kes dan mengambil kira dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memang ada wujud Fasa 4 iaitu Fasa Kawalan Wabak maka JKJAV telah membuat keputusan untuk memulakan pemvaksinan itu.

“JKJAV sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan dan agensi kerajaan yang lain untuk melaksanakan Fasa 4 bagi sektor ekonomi yang terkesan itu,” katanya.

Khairy berkata buat permulaan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Kompleks Petronas di Pengerang, Johor pada 16 Jun setelah JKJAV mengenal pasti kompleks itu sebagai kawasan berisiko tinggi.
“Kita akan memulakan industri PPV untuk pekerja di komplek itu… manakala yang lain akan menyusul,” katanya.

Beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) kini bekerjasama dengan agensi dan kementerian berkaitan untuk menetapkan jadual bayaran yang wajar dan munasabah akan ditanggung oleh industri serta syarikat yang mengambil bahagian dalam program industri PPV.

“Kerajaan menawarkan vaksin secara percuma sebagai komitmen kami di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tetapi industri akan menanggung kos menguruskan vaksin yang merangkumi kos sewa, logistik dan sebagainya… bagaimanapun terdapat ketakkonsistenan dari segi caj tambahan yang menyaksikan sebut harga berbeza dengan syarikat lain,” katanya.

Khairy berkata selaras dengan Fasa 4 iaitu Fasa Kawalan Wabak, PPV trak bergerak turut digerakkan ke kawasan industri yang masih beroperasi ketika PKP termasuk semalam di tapak pembinaan tren Transit Aliran Massa (MRT) di bawah MMC Gamuda.

“Trak bergerak ini adalah inisiatif baharu yang mana sebelum itu pada 7 Jun, ia telah digerakkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah sebagai projek perintis di Wilayah Persekutuan… ini melibatkan 1,000 penerima vaksin di setiap lokasi.

“JKJAV mendapati program ini berjaya dan sedang merancang untuk meningkatkan lagi jumlah trak bergerak yang akan dapat digerakkan ke kawasan tertentu seperti di flat PPR dan juga tapak industri,” katanya sambil menambah tumpuan akan diberikan kepada negeri (zon) merah terutama di Lembah Klang.

Mengulas vaksinasi untuk warga emas, beliau berkata hampir 60 peratus golongan itu yang berdaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah dan akan mendapat suntikan dos pertama hingga pertengahan bulan ini.

Khairy berkata seramai 2,256,257 warga emas sudah mendaftar untuk suntikan vaksin dengan 855,124 orang telah menerima dos pertama manakala 436,244 lagi sudah mendapat janji temu sehingga 15 Jun.

“Warga emas yang lain akan terima tarikh janji temu mereka bagi suntikan itu secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata semalam, negara mencatat kadar vaksinasi tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan iaitu sebanyak 151,309 dos dan jawatankuasa itu berharap ia dapat dicapai secara konsisten dan menjelang Julai pula, mencapai 200,000 sehari.

Katanya jawatankuasa itu sedang meneliti cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat menerima vaksin.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This