Kerajaan capai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus pada 2019 – Lim

PETALING JAYA,. Kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita mencapai sasaran 100 peratus, kita capai defisit fiskal 3.4 peratus daripada KDNK. Kita sudah pasti mencapainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara ´Hari Bertemu Pelanggan´ Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Lim juga mengumumkan kutipan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2019 melepasi sasaran berjumlah RM27.5 bilion berbanding anggaran awal RM22 bilion dalam Belanjawan.

Menurutnya, ia menunjukkan bahawa ekonomi negara masih mampan.

“Jika anda bertanya tentang kekurangan RM17 bilion kerana kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini sebanyak RM44 bilion, hakikat sebenarnya ia adalah RM9 bilion, kerana daripada jumlah ini (RM17 bilion) hampir separuh adalah bayaran balik yang sepatutnya telah dibayar,” katanya.

Lim berkata, dalam belanjawan lepas, kerajaan menjangkakan jurang RM10 bilion dalam kutipan SST berbanding GST.

“Dalam belanjawan sebelum ini kita menganggarkan jurang adalah RM10 bilion tetapi jurang yang dicapai itu kurang daripada RM8 bilion, kita juga mengumumkan langkah-langkah untuk menampung jurang itu.

“Segalanya adalah mengikut perancangan dan berita baiknya adalah jurang itu kecil sedikit antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion dan kita dapat menampung kekurangan itu,” katanya.

Beliau juga berkata bagi tahun ini, kerajaan menyasar mengutip RM27.5 bilion hasil SST, tetapi optimis kutipan hasil akhir mungkin akan lebih lagi daripada itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )