Kerajaan digesa tangani isu bekalan vaksin di Pulau Pinang demi kemampanan industri

Kerajaan digesa tangani isu bekalan vaksin di Pulau Pinang demi kemampanan industri

GEORGE TOWN,. Bekalan vaksin yang tidak konsisten menyumbang kepada senario lonjakan kes COVID-19 di Pulau Pinang meskipun usaha meningkatkan kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV) telah dijalankan.

Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Industri Pembuatan Pulau Pinang (PMIAC) Datuk Seri Lee Kah Choon dalam kenyataan berkata bekalan vaksin perlu ditambah segera bagi membendung penularan jangkitan, justeru pihaknya amat berharap agar Kerajaan Pusat dapat memperuntukkan lebih banyak bekalan vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negeri itu.

“Beberapa PPV di lapangan telah pun menyelesaikan program vaksinasi mereka, ada syarikat yang menawarkan PPV itu kepada perusahaan kecil dan sederhana (IKS) untuk dimanfaatkan bagi pemberian vaksin setelah adanya tambahan bekalan daripada kerajaan Pusat, daripada menutup PPV berkenaan,” katanya.

Selain itu PMIAC mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menilai semula kewajipan kekerapan saringan COVID-19 di tempat kerja dengan melihat aspek kemampuan dan kemampanan melaksanakan amalan itu dalam industri.

Mengakui saringan berkala di tempat kerja dan pengasingan pekerja yang disahkan positif (COVID-19) adalah amalan yang baik namun, katanya langkah mewajibkan semua tempat kerja di sektor pembuatan untuk menjalankan ujian tersebut mempunyai cabaran dan kelemahan tersendiri.

Ini termasuk cabaran untuk memenuhi permintaan bekalan kit ujian Antigen RTK untuk pihak industri dan masyarakat serta kos yang terlibat.

Katanya PMIAC turut menyarankan supaya sektor pembuatan dibenarkan untuk mengadakan perolehan kit tersebut secara berkumpulan bagi memastikan bekalan mencukupi, selain pemberian subsidi daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bagi membolehkan dasar itu dilaksanakan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This