Kerajaan Kedah rangka pelan kontingensi hadapi kemungkinan kemarau berlanjutan – Exco

SIK ,. Kerajaan negeri Kedah sedang merangka pelan kontigensi khusus bagi menghadapi kemungkinan musim kemarau berlanjutan, jika masih tiada hujan di kawasan tadahan air di negeri ini sehingga April.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf berkata persiapan awal perlu dirangka bagi memastikan bekalan air untuk sektor pertanian dapat diteruskan walaupun sumber air semakin terhad.
“Untuk kegunaan domestik masih cukup, sejak 1 Jan kita sudah lepaskan air untuk kegunaan semua loji dari Jeniang ke Pinang Tunggal, termasuk loji yang bekalkan air untuk Pulau Pinang kerana sebanyak 82 peratus penggunaan (air) di Pulau Pinang dibekalkan melalui sumber ini.

“Kerajaan negeri juga telah ambil beberapa langkah untuk meningkatkan paras air di empangan antaranya melakukan pembenihan hujan, namun nampaknya usaha itu kurang berhasil,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas mengadakan lawatan ke Tasik Beris di sini pada Khamis.
Beliau berkata proses pembenihan awan kurang sesuai dilakukan di Kedah pada masa ini memandangkan keadaan musim panas di negeri ini sangat kering dan cerah, tiada awan yang tersedia untuk hujan.

Zamri berkata pihaknya juga sudah membuat anggaran kerugian jika bekalan air tidak mecukupi untuk sektor pertanian terutama untuk tanaman padi bagi musim hadapan yang akan bermula April ini dan berharap dapat meminimumkan jumlah kerugian dengan pengurusan air yang berhemah.

“Tiada lagi jumlah kerugian yang tepat jika kita tidak dapat melaksanakan keseluruhan tanaman padi musim akan datang, mungkin kita masih boleh lepaskan air untuk kawasan pertanian tertentu dan jumlah kerugian dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan tinjauannya, akibat ketiadaan hujan di kawasan tadahan air sejak Oktober tahun lalu, paras air di empangan tidak menunjukkan peningkatan walaupun satu milimeter padu.

“Kita masih lepaskan air untuk kegunaan domestik dan pertanian, tapi kita berharap untuk sektor pertanian ia dapat digunakan secara optimum dan ‘tidak mewah’ seperti sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )