Kerajaan komited laksana tindakan iklim, tangani perubahan iklim
KUALA LUMPUR ,. Kerajaan komited untuk menangani dan melaksanakan tindakan iklim untuk terus mengurangkan pelepasan karbon negara walaupun pelepasan gas rumah hijau (GHG) global Malaysia hanya sebanyak 0.69 peratus.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan turut komited untuk merealisasikan sasaran pelepasan GHG sifar bersih selain mengimbangi keperluan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
“Kami akan berpegang teguh pada prinsip Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) untuk ekuiti dan Kebertanggungjawaban Biasa Tetapi Berbeza Mengikut Keupayaan Masing-Masing (CBDR-RC).
“Sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, keutamaan saya ialah Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dan Strategi Pembangunan Pelepasan Rendah Jangka Panjang yang akan menentukan landasan kita ke arah pelepasan GHG sifar bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Bursa Carbon Exchange (BCX) oleh Bursa Malaysia, di sini semalam.
Mengenai dasar dagangan karbon, Nik Nazmi menjelaskan bahawa di bawah Pasaran Karbon Sukarela (VCM), tiada sekatan dikenakan ke atas jualan kredit karbon yang dijana daripada projek di Malaysia kepada pembeli di luar negara.
“Dagangan kredit karbon yang dijana daripada projek di Malaysia melalui BCX tidak memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa di negara ini iaitu kementerian saya.
“Dagangan adalah terbuka, yang bermakna anda boleh menjalankan dagangan merentasi sempadan. Apa yang penting ialah ini tidak menjejaskan NDC kita pada Perjanjian Paris,” katanya pada sidang media selepas acara tersebut.
Bagaimanapun, katanya semua projek karbon domestik yang didaftarkan dalam pendaftaran kredit karbon antarabangsa seperti Verra, Gold Standards dan lain-lain perlu dilaporkan kepada kementerian.
Beliau juga berkata kredit karbon Malaysia yang didagangkan di bawah BCX tidak boleh digunakan untuk tujuan memenuhi NDC negara lain atau untuk tujuan mitigasi antarabangsa yang lain, dan keperluan ini telah disenaraikan dalam Peraturan BCX.
VCM membolehkan pemancar karbon untuk mengimbangi pelepasan mereka dengan membeli kredit karbon yang dijana daripada projek yang mengeluarkan atau mengurangkan GHG daripada atmosfera.
Ia memangkin dan menyediakan insentif kewangan untuk pembangunan dan pelaksanaan aktiviti mitigasi seperti penanaman semula pokok hutan bakau dan tanah lembap, memudahkan pengurusan kawasan hutan yang mampan atau penyelesaian berasaskan teknologi yang menyokong antaranya pengurangan pelepasan daripada atmosfera.
Dikendalikan oleh Bursa Malaysia, BCX ialah bursa karbon patuh Syariah pertama di dunia, menawarkan tiga jenis dagangan karbon, iaitu lelongan kredit karbon, dagangan semerta untuk kontrak kredit karbon piawaian dan perkhidmatan dagangan semerta untuk transaksi luar pasaran.
— BERNAMA