Kerajaan mahu jadikan Malaysia destinasi perkilangan, perkhidmatan bermutu tinggi – MITI

Kerajaan mahu jadikan Malaysia destinasi perkilangan, perkhidmatan bermutu tinggi – MITI

KUALA LUMPUR,. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi perkilangan dan perkhidmatan bermutu tinggi bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata kerajaan mahu pelabur dari seluruh dunia termasuk syarikat dari China mengetahui bahawa kilang tempatan bukan sahaja boleh menghasilkan produk biasa tetapi juga produk bermutu tinggi termasuk semikonduktor dan bidang lain.

“Ekonomi kita juga bukan untuk perkhidmatan biasa tetapi juga untuk perkhidmatan ibu pejabat serantau, perkhidmatan perundangan, perkhidmatan alam sekitar atau perkhidmatan kejuruteraan.

“Ini adalah hasrat kita supaya negara kita diangkat dan diambil kira oleh syarikat di seluruh dunia termasuk China, bahawa Malaysia sebuah negara yang unik dan boleh menghasilkan perkilangan dan perkhidmatan bermutu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis promosi Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE) di sini, semalam.

Sementara itu, menerusi ucapannya, Liew berkata dalam konteks perkilangan dan perkhidmatan bermutu tinggi, perlu ada penyepaduan lebih kukuh antara kerajaan dan entiti swasta.

“Tanggungjawab kita adalah untuk menambah baik peraturan dan mencadangkan inisiatif yang membawa impak positif kepada perniagaan Malaysia-China, menumpukan kepada perkilangan dan perkhidmatan bermutu tinggi dalam kerangka dasar dan undang-undang.

“Penyelarasan ekonomi dan kerjasama antara perniagaan sangat ditekankan, dan acara seperti CIIE menyediakan platform kepada usahawan Malaysia untuk melibatkan diri dengan perniagaan China, memudahkan hubungan perdagangan dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata perkara utama adalah untuk menggalakkan kerjasama penting, membantu persefahaman bersama melalui pameran dan ekspo, dan memupuk pemahaman tentang peraturan dan kawalan ekonomi antara satu sama lain.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This