Kerajaan negeri akan adakan pertemuan dengan pihak institusi tahfiz – Menteri Besar
KUALA TERENGGANU,. Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri akan mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi mengadakan pertemuan dengan pengetua dan mudir institusi tahfiz di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertemuan itu bukan sahaja akan membincangkan isu penderaan dalam kalangan pelajar institusi tahfiz, malah akan turut menyentuh aspek keselamatan adan kesihatan pelajar.
“Setakat ini memang belum berlaku perkara sedemikian (penderaan dan buli) di Terengganu cuma melalui jawatankuasa pendidikan kita akan tengok apa yang perlu dibuat oleh pihak kerajaan (kerajaan negeri) terutama membentuk jawatankuasa untuk pertemuan secara bersama dengan ketua-ketua atau mudir-mudir tahfiz ini.
“Walaupun (institusi tahfiz) tidak berada di bawah kerajaan negeri secara langsung, dari segi tanggungjawab, kita (kerajaan negeri) rasa kita berperanan untuk memastikan aspek-aspek ini terjaga,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Negeri, di sini.
Ketika ditanya jumlah institusi tahfiz yang belum berdaftar di negeri ini, Ahmad Samsuri berkata masih terdapat sebilangan kecil yang masih belum berbuat demikian.
“Tetapi respon yang kita dapat mereka positif untuk daftar mana-mana yang belum lagi itu,” katanya.
— BERNAMA