Kerajaan perhebat usaha pacu pelancongan domestik
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memperhebatkan lagi usaha bagi menggalakkan lebih ramai rakyat tempatan melancong dalam negara, sekali gus memacu pertumbuhan industri terbabit.
Malah, kementerian itu menyasarkan sejumlah 92.8 juta pelancongan tempatan yang menyumbang sebanyak RM76.9 bilion kepada ekonomi negara tahun ini berbanding 85.2 juta pelancong tempatan dengan sumbangan RM68.5 bilion pada 2019.
Pengarah Kanan Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata ini bagi memastikan keseluruhan rantaian jaringan itu dapat meneruskan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan walaupun jumlah kehadiran pelancong asing susut susulan penularan COVID-19.
Rantaian itu merujuk kepada hotel, pengangkutan, restoran, pengendali runcit dan pekerja masing-masing.
“Pada masa ini, kita tidak akan menyemak semula sasaran ketibaan pelancong asing kerana masih memantau keadaan semasa.
“Selain menumpukan usaha meningkatkan pelancongan domestik, kita juga berusaha gigih untuk menarik lebih ramai pelancong dari kalangan negara-negara ASEAN khususnya negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di sini, pada Khamis.
Kempen Tahun Melawat Malaysia itu menyasarkan 30 juta kehadiran pelancong asing yang membelanjakan kira-kira RM100 juta dalam sektor pelancongan itu.
Ammar turut menyifatkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lepas mampu memberi manfaat besar kepada industri itu khususnya sektor hotel dan peruncitan.
Bagi merangsang industri pelancongan, kerajaan memberi pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan berkaitan pelancongan domestik.
Rakyat tempatan juga layak mendapat baucar digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang bagi penerbangan, perjalanan kereta api dan penginapan hotel tempatan.
Sementara itu, Pengarah MM2H, Datin Sharifah Ikhlas Aljaffree menyuarakan rasa optimis berikutan jumlah permohonan program MM2H itu melebihi 8,000 tahun ini berdasarkan pertanyaan dan kegiatan promosi yang menggalakkan.
Pada 2019, Malaysia menerima jumlah permohonan tertinggi sebanyak 7,904 di antara kira-kira 100 negara yang menawarkan program sama.
Menurutnya, bagi tempoh 2002-2019, kerajaan telah meluluskan lebih 48,000 permohonan MM2H yang mana minat terhadap program itu meningkat ketara sejak lima tahun lepas.
“Pada masa sama, kita turut meneliti dan mengkaji semula dasar serta strategi semasa program itu. Ini kerana kita perlu lebih berdaya saing untuk menarik mereka yang lebih berkualiti (dari segi kemampuan) atau individu yang memiliki kekayaan bersih yang tinggi bagi menyertai program ini.
“Sasaran kita tidak hanya mengikut kewarganegaraan pemohon terbabit namun lebih kepada mereka yang berpendapatan isu rumah melebihi US$2,000 sebulan.
“Di China saja misalnya, ada ramai yang berpendapatan US$2,000 sebulan dan menyebabkan mereka berada di kedudukan teratas iaitu sebanyak 15,883 permohonan (bagi tempoh 2002-2019),” katanya.
— BERNAMA