Kerajaan perlu berbelanja dengan berhemah, efisyen serta kadar ketirisan sifar – Ahli ekonomi

Kerajaan perlu berbelanja dengan berhemah, efisyen serta kadar ketirisan sifar – Ahli ekonomi

KUALA LUMPUR,. Jika mahukan defisit negara semakin mengecil, kerajaan perlu berbelanja dengan berhemah dan efisyen agar mampu menghasilkan pulangan tertinggi dengan kadar ketirisan sifar, kata seorang ahli ekonomi.

Bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Zakariah Abdul Rashid berkata dengan pelaksanaan kewangan kendiri ini, Malaysia dapat mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Beliau berkata belanjawan kali ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berhadapan dengan masalah kewangan apabila kerajaan Persekutuan mengalami defisit berpanjangan, peningkatan defisit tahun demi tahun dan perlu mencari kaedah penjanaan hasil serta dapat mewujudkan pembaharuan struktur.

“Jika ini dapat dilakukan oleh PM, ia sungguh baik untuk kita,” katanya ketika mengulas mengenai sesi perbentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini, di Ruang Bicara kelolaan Bernama TV malam tadi.

Menurut beliau jika berdasarkan sejarah, ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, waktu itu Malaysia menikmati lebihan fiskal dan tetapi kali ini beliau berhadapan dengan situasi yang berbeza.

“Salah satu daripada hasrat PM adalah untuk mengurangkan defisit ini. Kita hendak melihat sama ada beliau mampu mengulangi kejayaan itu bagi mengurangkan defisit ini sikit demi sedikit dan akhirnya kita dapat menikmati lebihan.

“Ia (pengurangan defisit) bakal mengambil masa beberapa tahun dan kalau itu dapat dilakukan inilah yang dipanggil sebagai pembaharuan struktur,” katanya.

Menyentuh soal subsidi, Zakariah berkata ia menjadi beban kepada ekonomi kerana Malaysia sebuah negara yang paling banyak memberi subsidi.

“Salah satu punca kepada ketidakcekapan kita atau kemerosotan daya saing kerana kita terlalu banyak subsidi, bukan (sahaja) subsidi pendidikan tetapi subsidi gas, minyak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata subsidi banyak memberi kelebihan kepada rakyat tetapi malangnya ia menumpulkan daya saing ekonomi.

Jika langkah pengurangan subsidi dijalankan, Zakariah berpendapat cabarannya adalah ia merupakan satu tindakan yang tidak popular dan ramai orang akan ‘menjerit’ kepada kerajaan.

Sehubungan itu, beliau hendak melihat sama ada pengurangan subsidi boleh dilakukan atau sebaliknya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This