Kerajaan Sabah putuskan syor hadkan tempoh penyewaan rumah PPR minggu depan – Hajiji

Kerajaan Sabah putuskan syor hadkan tempoh penyewaan rumah PPR minggu depan – Hajiji

KOTA KINABALU,. Kerajaan Sabah akan membuat keputusan minggu depan berhubung cadangan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) meminta penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) lebih 10 tahun mengosongkan rumah mereka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, terdapat teguran daripada Jabatan Audit Negara berhubung perkara itu, bagaimanapun, kerajaan negeri melihat ada penyewa lebih 10 tahun masih perlu diberikan peluang tinggal di PPR itu atas pelbagai faktor terutamanya golongan kurang berkemampuan, dan ini akan dibincangkan dengan teliti dalam Mesyuarat Kabinet negeri minggu depan.

“Ini kerana mereka yang tinggal di rumah sewa PPR adalah golongan yang masih memerlukan tempat tinggal. Secara prinsipnya kita akan pastikan nasib mereka terbela,” kata Hajiji menerusi kenyataan pada Jumaat.

Media melaporkan LPPB baru-baru ini mengeluarkan notis untuk penyewa melebihi 10 tahun di beberapa PPR di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu mengosongkan kediaman berikutan teguran Jabatan Audit Negara berhubung ketidakpatuhan had tempoh menyewa yang ditetapkan.
Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri bersetuju mewujudkan Rumah Transit Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk golongan pelajar yang mencari kerja selepas tamat pengajian.

Katanya, cadangan itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan supaya dapat diwujudkan di PPR yang sedang dalam pembinaan.

“Kita ada banyak lagi PPR yang belum siap seperti di Inanam. Jadi sebagai permulaan, kita maklumkan kementerian supaya menyediakan 50 unit contohnya daripada 1,000 unit dikhaskan untuk rumah transit ini dengan bayaran mininum,” katanya.

Penyediaan rumah transit itu adalah antara cadangan yang dikemukakan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) kepada kerajaan negeri.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This