Kerajaan sedia inisiatif menarik bantu belia minat ceburi industri penternakan ikan

Kerajaan sedia inisiatif menarik bantu belia minat ceburi industri penternakan ikan

TUARAN,. Golongan belia yang berminat dalam industri penternakan ikan persisir pantai akan dibantu oleh kerajaan Sabah dengan pelbagai inisiatif menarik.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan Sabah akan menyediakan permohonan tanah Secara Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada para belia untuk memulakan penternakan ikan di persisiran pantai di seluruh negeri.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa daerah persisiran pantai yang terbiar di seluruh Sabah, kawasan berkenaan sesuai dibangunkan untuk sektor ini.

“Selain kita memberikan TOL, kita juga akan menyediakan benih ikan bermutu tinggi, ikan ini mempunyai daya persaingan tinggi dalam pasaran tempatan serta antarabangsa.

“Kita juga sediakan sangkar ikan kepada belia yang tidak berkemampuan, di Sungai Laya-Laya di sini contohnya, terdapat 40 lot kawasan dan saya mahu pastikan nelayan Tuaran terlibat dalam penternakan ikan di sini,” katanya dalam sidang media sempena Program Ramah Mesra Bersama Pekebun Kecil Getah Tuaran, di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah seumpamanya turut dilaksanakan dalam industri pertanian yang mana para petani khususnya golongan belia digalakkan melibatkan diri dalam penanaman sayur-sayuran atau buah-buahan berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Katanya, usaha seumpamanya mampu menjamin keselamatan makanan untuk keperluan masyarakat negeri ini dan eksport ke luar negara.

Dalam pada itu, Shafie menjelaskan terdapat satu lagi kilang minyak masak akan dibina di Keningau dan dijangka akan dilancarkan pada bulan depan.

Katanya, ia merupakan kilang ketiga minyak masak diwujudkan selepas Tawau dan Sandakan. Kilang berkenaan akan mampu memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat selain mampu menjana sumber pendapatan kepada petani kelapa sawit serta peniaga kecil yang boleh menjual minyak berkenaan.

Selain itu, Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan pastikan agar industri hiliran dalam komoditi getah di Sabah diwujudkan.

“Kita perlu menerokai industri hiliran getah, pastikan produk dihasilkan bertahan lama atau mampan dengan mempunyai permintaan serta harga yang berpatutan.

“Keadaan ini sekaligus akan mengalakkan penanaman getah dalam kalangan penduduk setempat, saya percaya produk komuniti ini boleh mampan tetapi perlu mewujudkan industri hilirannya dahulu,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan Sabah sebelum ini sudah mengenal pasti daerah Beaufort sebagai kawasan mewujudkan kilang tayar, bagaimanapun usaha itu terbantut akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga menasihatkan para ahli politik agar utamakan kehidupan rakyat dan jangan banyak berpolitik.

“Kekayaan sumber alam negeri ini bukan untuk dimiliki kerajaan atau pemimpin semata-mata tetapi ia perlu memberikan keuntungan kepada rakyat.

“Penting kepada kita agar kepentingan rakyat sentiasa diutamakan,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong serta tetamu kehormat yang lain.

CATEGORIES
TAGS
Share This