Kerajaan sedia wujudkan kerjasama bipartisan dengan pembangkang

Kerajaan sedia wujudkan kerjasama bipartisan dengan pembangkang

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk mewujudkan kerjasama bipartisan bagi kestabilan negara dan memastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19.

Beliau berkata rundingan kedua-dua pihak itu termasuk mengenai meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sekiranya cadangan kerjasama bipartisan itu dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat, katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan petang ini.

“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat,” katanya dan menambah bahawa kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya itu diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

“Stabil dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan kestabilan politik adalah amat penting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dan seterusnya memulihkan negara.

“Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara bukan satu usaha mudah. Kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ke landasan pembangunan serta pertumbuhan yang sihat,” katanya.

Perdana Menteri berkata kegagalan menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan akan mengakibatkan rakyat menanggung sengsara dan beban.

“Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,” katanya.

Beliau berkata apabila negara telah pulih daripada wabak COVID-19, orang ramai boleh kembali menjalani kehidupan biasa, selain bersama-sama membawa semula Malaysia ke mercu kejayaan dan kegemilangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )