Kerajaan Thailand sedia sokong model Phuket: Menteri Kesihatan

BANGKOK, 8 Sept — Kerajaan Thailand menyokong model Phuket bertujuan menarik kembali pelancong asing, kata Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnivarakul namun, tidak menyatakan sama ada ia boleh dilaksanakan pada Oktober sebagaimana perancangan awal.

Rancangan itu masih dalam pertimbangan dan keputusan akan dibuat oleh Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), lapor agensi berita Thailand (TNA).

Anutin berkata pembukaan semula resort pulau ditentang oleh sesetengah pihak berikutan kebimbangan terhadap gelombang kedua di kawasan itu.

Memetik lawatannya ke Phuket pada hujung minggu untuk bertemu pengusaha perniagaan, beliau berkata mereka meminta kelonggaran sekatan untuk pelancong asing.

“Kementerian Kesihatan Awam bersedia untuk mengenakan langkah kawalan penyakit berskala penuh. Kami mempunyai kakitangan perubatan, peralatan dan kemudahan hospital untuk menyokong rancangan pelaksanaannya,” katanya namun, pengusaha harus mewujudkan persefahaman dengan pihak yang menentang rancangan mereka.

Mengenai kesediaan hospital di sempadan Thailand-Myanmar, beliau berkata mereka sering menghadapi kekurangan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) COVID-19 tetapi buat masa ini mempunyai bekalan yang mencukupi untuk menangani keadaan tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )