Kerajaan usaha cari dana tampung penyelarasan gaji pekerja swasta – PM

Kerajaan usaha cari dana tampung penyelarasan gaji pekerja swasta – PM

KUALA TERENGGANU,. Kerajaan sedang berusaha mencari dana untuk menampung sedikit bayaran bagi penyelarasan gaji pekerja sektor swasta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tidak banyak negara yang melakukan perkara itu tetapi Kerajaan Perpaduan tetap akan memikirkan tentang bagaimana kaedah dan pelaksanaannya.

“Pimpinan mesti peka dan prihatin tentang masalah rakyat dan isu penyelarasan gaji untuk perkhidmatan awam yang sedang diusahakan belum dibuat di dalam sektor swasta.

“Pekerja kilang, apa nasib mereka? Sebagai contoh, kilang itu untungnya berbilion ringgit tetapi gaji masih belum mencapai gaji minimum. Jadi, keputusan kita ialah mencari kaedah dan mekanisme baru untuk memastikan gaji pekerja itu ditingkatkan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan Bersama Usahawan Tekun di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini semalam.

Bagi penyelarasan gaji sektor awam, Anwar berkata keputusan bagi kadar gaji dan upah baharu akan diumumkan sama ada dalam Belanjawan MADANI 2024 atau pada awal tahun hadapan selain peruntukan lebih khusus untuk usahawan juga akan diumumkan di dalam belanjawan itu.

Sementara itu, Anwar berkata negara ini juga bergantung kepada usahawan kecil dan sederhana dalam usaha untuk mengembangkan ekonomi MADANI.

“Ia berkait dengan (isu) menokhtahkan kemiskinan. Program perlu dibuat supaya kelompok ini tidak dipinggirkan… dan ia memerlukan komitmen politik yang jelas,” katanya.

Anwar berkata ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) ini banyak pihak terutamanya pembangkang bersuara pelbagai isu tetapi sewaktu berkuasa tidak banyak yang mereka lakukan.

“Antaranya mereka tidak menambah peruntukan kepada Tekun, tak selesaikan masalah subsidi padi. Kita lapan bulan ini diserang begitu rupa,” katanya.

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan inisiatif pengeluaran padi lima musim dua tahun dan pada Selasa beliau mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 satu tan metrik.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )