Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara tahun ini akan lebih baik

GEORGE TOWN,. Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lepas dengan adanya pelbagai inisiatif kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang berdaulat telah menghadapi cabaran namun kerajaan berusaha untuk menangani isu ekonomi berdasarkan asas ekonomi.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan asas ekonomi kekal kukuh termasuk dari segi fiskal selain mengekalkan keyakinan bukan sahaja pelabur malah agensi antarabangsa.

“Kita boleh lihat pertumbuhan ekonomi negara masih sihat, unjuran pertumbuhan ekonomi pada kira-kira 4.7 peratus, lebih baik berbanding negara-negara lain.

“Sesetengah negara jiran jauh lebih teruk, tetapi kita yakin bahawa tahun ini kedudukan ekonomi akan lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya semasa sidang media mengenai penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 bersama Menteri Kewangan oleh Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang di sini, hari ini.

Lim berkata kerajaan telah mengenal pasti lima perkara yang akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Perkara itu ialah harga komoditi termasuk kelapa sawit dan minyak mentah yang telah meningkat; ketegangan perang dagang akan reda dan peningkatan perbelanjaan kerajaan.

“Perkara keempat adalah reformasi institusi yang juga akan mendorong penjimatan, keberkesanan dan kecekapan tercapai.

“Terakhir adalah inisiatif kerajaan yang akan menyuntik dana kepada pasaran, antaranya program e-dompet yang akan dijalankan minggu depan,” katanya.

Lim berkata berlandaskan semua inisiatif yang dilaksanakan dan langkah yang diambil, kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi tahun ini akan lebih baik daripada tahun lepas.

Terdahulu, Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang mengumumkan akan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 bersama Menteri Kewangan pada 25 Jan dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari di Pusat Konvensyen Setia Spice.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )