Kerjasama Bersatu-Umno Di Sabah Tidak Terjejas Dengan Perkembangan Politik Di Peringkat Persekutuan
KOTA KINABALU: Kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO di Sabah terutama dalam kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan terjejas dengan perkembangan politik di peringkat persekutuan, kata pemimpin kedua-dua parti.
Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, yang juga Ketua Bersatu negeri, berkata parti itu akan terus berganding bahu dan bekerjasama dengan rakan kongsinya di negeri itu bagi menghormaati mandat rakyat yang meletakkan GRS di tampuk kekuasaan.
“Sekarang bukanlah masanya untuk bertelingkah mengenai politik tetapi adalah masa untuk bekerja.
Kita berdepan ancaman pandemik dan cabaran ekonomi yang menjejaska rakyat, jadi usahlah kita leka sebaliknya perlu bekerjasama untuk mengatasi kesemua cabaran ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ketua UMNO negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang berpandangan sama, pula menegaskan bahawa parti itu akan terus bekerjasama dengan Bersatu di Sabah.
Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata UMNO Sabah memiliki autonomi sendiri dalam menentukan haluan mereka dan ketika ini, fokus kerajaan GRS adalah memenuhi keperluan rakyat untuk kehidupan lebih baik terutama dari segi pembangunan.
“Sudah tentu akan ada rasa tidak puas hati di sana sini tetapi itu tidak bermakna kita perlu memusnahkan segala yang GRS bina untuk rakyat, paling penting setiap pemimpin GRS memiliki keikhlasan untuk bekerjasama… kami tidak mempunyai sebarang isu dan masih boleh bekerjasama,” katanya ketika dihubungi.
Pemimpin parti komponen GRS termasuk Hajiji dan Bung Moktar pada 9 Jan lepas, telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk meneruskan kerjasama dan menolak sebarang bentuk campur tangan yang cuba mengancam gabungan itu.
GRS terdiri daripada parti komponen Perikanan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR, Parti Progresif Sabah atau SAPP dan PAS) dan Barisan Nasional (UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah atau PBRS, MCA, MIC) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).
Dilaporkan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Surat itu turut memaklumkan bahawa UMNO akan terus berada dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.
-BorneoToday