
Kertas kerja jambatan Labuan dibentang di Kabinet dalam masa terdekat
LABUAN, 4 Sept — Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata beliau akan mengemukakan kertas kerja mengenai cadangan pembinaan Jambatan Labuan kepada Kabinet bagi kelulusan Permohonan Cadangan (RFP), dua minggu lagi.
Katanya, pembinaan jambatan itu amat penting bagi memacu pembangunan masa depan Labuan sebagai sebuah pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia.
“Kami sedang menilai kepentingan jambatan itu yang menjadi game-changer (pembangunan ekonomi Labuan). Kita juga perlu meneliti kawasan yang terjejas untuk kerja penambakan supaya pembangunan infrastruktur yang lebih mampan dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita pada akhir lawatan kerja dua hari di sini, malam tadi.
Beliau berkata usaha untuk merealisasikan pembinaan jambatan itu dapat disegerakan dengan taklimat kepada jemaah Kabinet, tidak lama lagi.
“Memandangkan jambatan akan melalui proses tender terbuka, kami akan lebih berhati-hati dalam pemilihan pemaju. Kami harap dapat mempercepat pelaksanaannya,” katanya.
Annuar berkata sekiranya syarikat antarabangsa dipilih untuk membina jambatan itu, syarikat berkenaan mesti bekerjasama dengan kontraktor tempatan.
Katanya, pegawai kementerian telah mengadakan perbincangan awal dengan kerajaan Sabah yang telah menyokong pembinaan projek jambatan yang dicadangkan itu.
Sebelum ini, dilaporkan pembinaan cadangan jambatan sejauh 13 km dari Tanjung Aru ke tanah besar Sabah itu akan menghubungkan sama ada, Mempakul atau Membakut di Sabah.
Katanya, jambatan berkenaan sebaiknya dapat dihubungkan dengan projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dibina yang menghubungkan Sarawak dan Sabah.
“Sekiranya Lebuhraya Pan Borneo dapat dihubungkan ke jambatan Labuan, ia akan memberi kesan sampingan terhadap sosioekonomi Labuan,” katanya.
— BERNAMA