Kertas siasatan kes polis peras ugut orang awam dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya

Kertas siasatan kes polis peras ugut orang awam dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR,. Kertas siasatan kes enam anggota polis ditahan kerana disyaki memeras ugut orang awam pada 29 Okt lepas, akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan kata Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah.

Beliau berkata, kertas siasatan yang sudah lengkap itu akan diserah menerusi Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, yang kemudiannya diserahkan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kesemua anggota itu, yang berusia lingkungan 20 sehingga 40 tahun ketika ini, masih lagi diletakkan di bahagian pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini.

Razali juga berkata polis masih menunggu laporan patologi ujian air kencing berhubung salah seorang daripada anggota yang ditahan itu yang didapati positif dadah.

Sebelum ini, Bernama melaporkan pada 29 Okt lalu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, menahan enam anggota berkenaan melakukan peras ugut kepada orang awam di sekitar Serdang, Selangor dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Razali berkata IPD Serdang menerima 17,584 permohonan merentas negeri sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 14 Okt lepas sehingga kini, dengan sebahagian besar daripadanya mendapat kelulusan.

“Daripada jumlah itu, 613 permohonan ditolak kerana alasan tidak munasabah antaranya seperti berjumpa kawan, pergi membeli belah dan sebagainya.

“Satu kes jenayah juga berjaya dikesan menerusi sekatan jalan raya iaitu dua lelaki ditahan kerana menunggang sebuah motosikal curi,” katanya.

Beliau juga berkata sebanyak 680 kompaun telah dikeluarkan mengikut Seksyen 3, Seksyen 10 dan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, sepanjang pelaksanaan sekatan jalan raya di seluruh daerah Serdang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This