Kerugian bersih Boustead Holdings naik kepada RM73.1 juta pada suku pertama

Kerugian bersih Boustead Holdings naik kepada RM73.1 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR,. Kerugian bersih Boustead Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2020 meningkat kepada RM73.1 juta daripada RM22.4 juta pada suku pertama 2019.

Perolehan merosot sebanyak 10 peratus kepada RM2.3 bilion daripada RM2.5 bilion sebelum ini, berikutan perolehan yang lebih rendah daripada bahagian perindustrian, hartanah, perindustrian berat, perdagangan, kewangan dan pelaburan kumpulan itu.

Bagaimanapun, bahagian farmaseutikalnya mencatatkan perolehan lebih tinggi sebanyak RM819.9 juta pada suku pertama 2020 berbanding RM786.1 juta pada suku pertama 2019, berikutan permintaan yang lebih tinggi daripada operasi di Indonesia, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Susulan daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, aktiviti perniagaan pada dasarnya terhenti dalam banyak industri.

“Kumpulan tidak terkecuali daripada masalah ini, berikutan kebanyakan daripada bahagian kami terjejas, memberi impak kepada pendapatan pada suku pertama,” kata Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan berasingan.

Bagaimanapun, beliau yakin langkah transformasi Boustead Holdings yang sedang dilaksanakan akan membolehkan kumpulan menghadapi situasi mencabar pada tahun ini, dan menambah kumpulan menyasarkan untuk mengukuhkan operasinya dan meningkatkan prestasinya dalam mencapai prospek yang lebih cerah untuk tempoh tiga tahun akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This