
Kerugian RM1.6 juta babitkan penipuan pinjaman wang
KUCHING,. Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak merekodkan 162 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud melibatkan kerugian mencecah RM1.6 juta di seluruh negeri sejak 1 Januari sehingga 11 Jun tahun ini.
Ketua JSJK Sarawak Superintenden Maria Rasid (gambar) berkata jumlah tersebut meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas yang hanya merekodkan 111 kes dengan kerugian sekitar RM922,000.
“Daripada jumlah kes pada tahun ini, kita telah membuat 26 tangkapan dan kini masih giat menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket pinjaman wang tidak wujud ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya juga, terdapat dua kes terbaru dilaporkan di Kota Samarahan dan Padawan iaitu pada 31 Mei dan 8 Jun baru-baru ini.
“Bagi kes di Kota Samarahan, mangsa merupakan wanita berusia 25 tahun yang mulanya tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman web dan cuba menghubungi si pengiklan sehingga diperdaya membayar pelbagai proses mencecah RM36,000 melakui 16 transaksi bank.
“Manakala kes di Padawan pula juga membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun yang tertarik dengan iklan berkenaan pinjaman wang tersebut di media sosial lalu menghubungi pengiklan sehingga turut diperdaya membuat bayaran berjumlah RM800 kononnya untuk ‘stamp fee’.
“Malangnya, kedua-dua mangsa tidak mendapat wang pinjaman yang dipohon sungguhpun bayaran telah dibuat dan hanya menyedari diri mereka ditipu selepas itu,” jelas Maria.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pinjaman wang daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali.
“Sebaik-baiknya dapatkan pinjaman daripada syarikat pemberi pinjaman wang berlesen atau institusi kewangan yang sah.
“Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan jangan membenarkan penggunaan atau menjual akuan bank kepada mana-mana pihak kerana dikhuatiri akan digunakan melakukan jenayah.
“Jika ada laporan polis terhadap akaun berkenaan, maka pemilik akaun akan dituduh di mahkamah,” katanya.