
Kes pertama COVID-19 di Pitas libatkan bayi
KOTA KINABALU,. Daerah Pitas merekodkan kes pertama COVID-19 pada 8 Jun membabitkan seorang bayi dan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, sebelum dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) untuk rawatan lanjut, bayi berkenaan mendapat rawatan di Hospital Pitas dan Hospital Kota Marudu.
Menurutnya, kes berkenaan dikesan positif COVID-19 oleh HWKKS semasa ujian saringan pra-pembedahan.
Beliau berkata, satu lagi kes baharu membabitkan seorang lelaki di Kota Kinabalu yang dikesan melalui aktiviti saringan bersasar.
“Kes ini dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu sedang melaksanakan aktiviti saringan bersasar di lokaliti terpilih untuk penyakit TB dan COVID-19.
“Aktiviti ini akan diteruskan di lokaliti terpilih yang lain dan mereka yang tinggal di kawasan berhampiran dinasihatkan untuk memanfaatkan kehadiran pasukan khas dengan memastikan mereka yang bergejala menjalani saringan yang disarankan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Christina berkata, kedua-dua kes baharu itu dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.
Menurutnya, setakat ini siasatan ke atas semua jangkitan tempatan menunjukkan wabak COVID-19 masih menular dalam masyarakat.
“Hampir kesemua kes tempatan yang dikesan tidak menunjukkan sebarang gejala dan ini menyukarkan pengesanan kes kerana mereka tidak akan tampil ke klinik.
“Kesemua kes yang dikesan sama ada dalam kalangan kontak atau melalui aktiviti saringan bersasar dalam komuniti atau hospital (pra-pembedahan).
“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak leka dan terus mengamalkan norma-norma baharu lebih-lebih lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan,” jelasnya.
Beliau berkata, Sabah sehingga 8 Jun 2020, merekodkan sebanyak 355 kes COVID-19 dan 12 kes masih menjalani rawatan di hospital manakala 338 kes lagi dilaporkan sembuh.
Selain itu katanya, seramai 4,333 orang masih aktif menjalani perintah kuarantin di rumah manakala seramai 1,157 orang lagi masih aktif dikuarantin di pusat kuarantin.
–UTUSAN BORNEO