Kes Siti Kasim: Suspek dipercayai pelajari cara buat bom di Internet

Kes Siti Kasim: Suspek dipercayai pelajari cara buat bom di Internet

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan suspek yang memasang dua botol plastik disyaki bahan letupan termampat (IED) di bahagian bawah kereta milik peguam Siti Kasim, Jumaat lepas, mempelajari teknik membuat bahan letupan itu menerusi Internet.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata andaian itu berdasarkan soal siasat yang dijalankan sebelum ini terhadap suspek kes letupan bungkusan di hadapan sebuat restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya, Disember lepas yang mengaku mempelajari pembuatan IED di Internet.

“PDRM masih menjalankan siasatan motif pemasangan IED (pada kenderaan Siti Kasim) itu, bila bahan itu dipasang dan siapa suspek yang terlibat kes berkenaan,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata polis sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari tempat kejadian bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab meletakkan bahan letupan berkenaan di bawah kenderaan Siti Kasim.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan setakat ini sembilan saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada Jumaat lepas, Siti Kasim membuat laporan polis berhubung penemuan dua botol plastik menyerupai bahan letupan yang diletakkan di brek bahagian tayar belakang kereta jenis Toyota Celica milik peguam dan aktivis sosial itu.

Siti Kasim menyedari objek tersebut ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis kereta di Jalan Maarof, kira-kira 12 tengah hari.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This