Kesalinghubungan internet cabaran besar terajui KKMM – Saifuddin

Kesalinghubungan internet cabaran besar terajui KKMM – Saifuddin

TEMERLOH,. Aspek kesalinghubungan internet di seluruh negara yang mendesak akibat pandemik COVID-19, menjadi cabaran besar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang genap setahun menerajui KKMM berkata, jumlah aduan berkaitan kelambatan capaian atau ‘signal’ rendah meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama bermula 18 Mac 2020, yang menyaksikan penduduk ‘berkurung’ di rumah.

“Trafik bagi capaian internet diatur oleh syarikat telekomunikasi mengikut tiga komponen, iaitu kawasan tempat tinggal, premis perniagaan atau tempat kerja, dan jalan yang menghubungkan dua lokasi awal tersebut.

“Semasa PKP, capaian internet di kawasan perumahan menjadi sesak dan perlahan memandangkan penggunaan internet menjadi sangat tinggi disebabkan aktiviti bekerja, pembelajaran dan perniagaan, berlangsung dari rumah.

“Ini perkara baharu yang mencabar kementerian, kerana tiada siapa dapat menjangka kita akan berdepan COVID-19.

Semua pihak termasuk syarikat telekomunikasi bertungkus-lumus menambah baik perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Kolej Komuniti Temerloh di sini, pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang Zahari Ismail, dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Mohd Salmun Mustafa.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), merupakan antara hikmah yang diperoleh daripada pandemik itu, yang diwujudkan dengan matlamat meningkatkan tahap kesalinghubungan digital dan kualiti perkhidmatan komunikasi, seluruh negara.

Menerusi pengalaman lalu, Saifuddin berkata hanya ‘satu lebuh raya’ diwujudkan di bawah entiti khusus kerajaan bagi pelaksanaan Jendela, sekali gus membolehkan kos yang akan ditanggung pengguna adalah lebih rendah, kerana melibatkan pelaburan bukan daripada syarikat telekomunikasi.

“Bagi aspek ekonomi digital, kita juga telah meningkatkan program-program e-Dagang seperti perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS), Program eRezeki dan ‘Global Online Workforce’ yang memberi manfaat kepada 422,273 orang, dengan tumpuan tahun ini ialah mendapatkan pelaburan digital daripada luar negara dan tempatan,” katanya.

Saifuddin berkata bagi industri kreatif, inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dengan peruntukan RM89.2 juta, telah memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri dan mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan baharu.

Beliau yang berhasrat melihat industri kreatif negara mendapat pengiktirafan antarabangsa juga berkata, usaha ke arah itu akan dimulakan dengan lebih serius dan bersistematik tahun ini, termasuk mengadakan kerjasama dengan negara luar seperti Australia dan Korea Selatan.

“Alhamdulillah, isu tenaga kerja tambahan Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau dikenali ‘piecemeal’ yang lama tidak ditangani, iaitu sejak 1980-an, telah berjaya diselesaikan dengan 397 mereka dalam proses lantikan secara ‘Contract of Service’.

“Ini membolehkan mereka mempunyai gaji yang tetap berbanding sebelum ini, dibayar mengikut hari atau jam, dan memiliki slip gaji yang dapat membantu memudahkan urusan mereka seperti mendapatkan pinjaman,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )