Ketibaan pelancong di Sarawak merosot lebih 70 peratus tahun lepas
KUCHING, 2 Feb — Ketibaan pelancong asing dan domestik ke Sarawak dari Januari hingga Disember 2020 merosot sebanyak 74.2 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun 2019 berikutan pandemik COVID-19.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak pada tahun lepas hanya menerima sejumlah 1.199 juta pelancong, berbanding 4.62 juta pelancong pada tahun sebelumnya.
“Ketibaan pelancong asing hanya merekodkan sejumlah 363,304 orang berbanding 2,082,444 pelancong pada tahun 2019, pengurangan sebanyak 82.55 peratus.
“Pada masa yang sama pelancongan domestik pula berkurang kepada 836,568 berbanding 2,579,975 orang dalam tempoh sama, iaitu pengurangan sebanyak 65.67 peratus,” katanya selepas menghadiri forum Jurnal Pengurusan Pelancongan Bertanggungjawab di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, akibat daripada penurunan ketibaan pelancong ke negeri itu, nilai resit pelancongan Sarawak juga telah menurun sebanyak 75.12 peratus kepada RM2.88 bilion berbanding RM11.57 bilion pada tahun 2019.
Untuk memastikan sektor pelancongan tidak lumpuh, katanya adalah penting untuk kerajaan negeri mempromosikan produk pelancongan domestik melalui pelbagai kempen, serta berhubung dengan pemain industri bagi bersama-sama menyelesaikan permasalahan mereka ketika ini.
“Walaupun rakyat tidak boleh merentas negeri, namun penduduk Sarawak masih boleh menikmati produk pelancongan yang ada di Sarawak, ini sedikit sebanyak dapat membantu sektor pelancongan dalam negeri ini terus bertahan dan tidak akan lumpuh,” katanya.
Menurut beliau pada tahun lepas, Sarawak telah melancarkan kempen ‘Sia Sitok Sarawak’ yang akan membolehkan rakyat negeri itu dan juga bukan penduduk Sarawak yang mempunyai permit kerja untuk menikmati produk pelancongan di negeri ini, dengan harga pakej potongan sehingga 50 peratus.
— BERNAMA