Ketirisan diesel: KPDN perkukuh kerjasama dengan Polis Sarawak

Ketirisan diesel: KPDN perkukuh kerjasama dengan Polis Sarawak

KUCHING,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh kerjasama dengan Polis Sarawak dalam usaha membanteras ketirisan minyak diesel bersubsidi di negeri itu.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara tersebut merupakan antara perkara dibincangkan beliau bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dalam satu pertemuan di sini, hari ini.

Katanya kerjasama itu juga adalah untuk memastikan penyeragaman gerak kerja dan prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan antara agensi terlibat.

“Kita akan memperkemas SOP serahan kes supaya mana-mana agensi yang mendapati berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan diesel dapat menyerahkan kes tersebut dengan segera.

“SOP ini juga bagi memastikan bukti dan butiran kes adalah lebih seragam untuk membolehkan KPDN membuat tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri meninjau Program Jualan Rahmah (PJR) di Bandar Baru Samariang di sini.

Armizan berkata sepanjang pelaksanaan Ops Tiris pada tahun 2023 di Sarawak, 168 kes telah direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM6,554,327.

“Menurut data, hampir 62 peratus daripada keseluruhan kes yang direkod adalah melalui serahan kes daripada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata sepanjang 2023, sebanyak 727 PJR telah dilaksanakan di Sarawak meliputi 31 kawasan Parlimen yang telah menarik seramai 807,254 pengunjung.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )