
Ketua Bersatu letak jawatan, keluar parti bersama 23 AJK bahagian
KLANG, 8 Ogos — Ketua Bahagian Bersatu Klang Datuk Syed Abdillah Syed Abd Aziz hari ini mengumumkan peletakan jawatannya itu dan keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Turut mengumumkan keluar daripada parti berkenaan adalah 23 ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Klang.
“Kami juga membuat keputusan untuk membubarkan Bersatu Bahagian Klang dengan serta-merta. Seluruh barisan Bersatu Bahagian Klang yang diketuai saya sendiri, secara sebulat suara hilang kepercayaan terhadap kepimpinan peringkat Penaja Bersatu,” katanya dalam sidang media khas pembubaran Bersatu Bahagian Klang di sini.
Syed Abdillah berkata susulan pengumumannya keluar daripada parti itu, sebanyak 10 cawangan Bersatu Bahagian Klang yang melibatkan lebih 2,800 ahli turut terbubar secara automatik.
Katanya, Bersatu Bahagian Klang juga mencapai kesepakatan untuk menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
Terdahulu pada sidang media berasingan di Kuala Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor Mohd Shaid Rosli turut mengumumkan keluar daripada parti berkenaan serta-merta dan bergerak sebagai wakil rakyat bebas.
— BERNAMA