Keunikan kelulut cetus inspirasi jurutera ceburi industri madu

Keunikan kelulut cetus inspirasi jurutera ceburi industri madu

KUCHING,. Perjalanan untuk menjadi pengusaha madu kelulut bukanlah sesuatu yang mudah buat Mohamad Aluis Hamri, 37, sebaliknya ia memerlukan tekad yang tinggi, selain semangat dan minat untuk menghabiskan apa yang telah dimulakan.

Itulah yang perlu beliau lalui, dan selepas bertungkus-lumus bersama keluarganya selama hampir enam tahun, beliau kini boleh berbangga kerana dapat menikmati hasil titik peluhnya menjalankan perusahaan unik itu.

“Saya akui perjalanannya agak getir. Namun dengan sokongan keluarga dan semangat untuk menghabiskan apa yang telah saya mulakan, inilah hasilnya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Taman Agro Niranur di Sematan, kira-kira 105 km dari sini.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengurus taman agro yang dimulakannya bersama keluarganya sejak 2014 itu, Mohamad Aluis menganggap penglibatannya dalam industri madu kelulut itu sebagai satu kebetulan kerana latar belakang beliau adalah jurutera.

“Saya mempunyai sebuah syarikat pembinaan. Inspirasi untuk menceburi industri madu kelulut ini timbul selepas saya memerhatikan serangga unik ini, cara hidupnya yang sentiasa aktif dan struktur koloninya yang teratur,” katanya.

Akhir tahun 2014, Mohamad Aluis mulai mengatur langkahnya dengan mendapatkan dua sarang pertama kelulut yang diperolehinya dari hutan paya bakau yang terdapat di Sematan.

Niatnya untuk memajukan industri itu disokong ibu bapanya yang membenarkan beliau menggunakan sebidang tanah milik keluarganya di daerah paling selatan di Sarawak itu untuk memulakan sebuah taman agro dan seterusnya menempatkan lebih banyak sarang kelulut.

“Menjelang 2015, sebanyak 40 sarang kelulut telah dapat saya tempatkan di taman ini sebelum saya tambah menjadi 160 pada tahun berikutnya, 180 pada tahun 2017 dan meningkat menjadi 220 sarang sekarang,” katanya.

Dengan penambahan sarang, usaha itu membolehkan beliau meningkatkan hasil pengeluaran madu kelulut daripada sekitar 50kg sebulan pada mulanya, menjadi kira-kira 100kg pada masa ini.

“Alhamdullillah, pendapatan yang pada mula-mulanya sekitar RM8,000 sebulan sudah dapat ditingkatkan sehingga RM12,000 sekarang,” katanya.

Beliau berkata penternakan kelulut memerlukan pemerhatian kerana sebagai serangga bersaiz kecil dan tidak menyengat, ia sering menjadi sasaran serangga pemangsa yang lebih besar seperti tebuan serta lebah, dan semasa ditanya cara yang digunakan bagi menangani serangga pemangsa itu, beliau secara selamba menunjuk ke arah sebatang raket badminton yang tergantung di satu sudut pondok rehat taman berkenaan.

“Itu adalah salah satu ‘senjata’ yang saya gunakan untuk menangani tebuan dan lebah yang menceroboh sarang kelulut. Selain itu saya juga mempelajari satu petua untuk meletakkan sedikit belacan berdekatan sarang ini yang dikatakan akan dapat menghalau lebah atau tebuan,” katanya.

Beliau seterusnya mengalu-alukan langkah kerajaan untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Industri Kelulut 2020-2030 yang dirasakannya dapat membantu merangsang dan seterusnya melonjakkan lagi industri itu ke tahap lebih tinggi.

Strategi pemasaran yang digunakan Mohamad Aluis untuk mempromosikan produk madu kelulutnya dengan mengoptimumkan penggunaan media sosial merupakan salah satu pendekatan yang membawa kepada kejayaan usahanya selama ini.

“Saya juga telah melantik beberapa kedai selain stokis khususnya di Kuching dan Kuala Lumpur untuk memasarkan produk saya namun sebahagian besar jualan adalah melalui pesanan menerusi media sosial,” katanya.

Sejak dibuka kepada orang ramai pada 2015, Taman Agro Niranur menerima kira-kira 40,000 orang pengunjung setiap tahun dan seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, beliau menjangkakan lebih ramai lagi pengunjung, khususnya di kalangan peminat madu kelulut, akan datang ke taman ini.

“Kemasukan ke taman ini adalah percuma, dan dengan bayaran RM3 seorang, para pengunjung berpeluang untuk menikmati madu kelulut segar dengan menyedutnya terus dari sarang,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Hamdan Ismail

CATEGORIES
TAGS
Share This