Keupayaan Sistem Kesihatan Sabah Berisiko Capai Had

Keupayaan Sistem Kesihatan Sabah Berisiko Capai Had

KUALA LUMPUR: Pakar-pakar epidemiologi memberi amaran sistem kesihatan di Sabah berisiko mencapai had sekiranya jumlah kes Covid-19 terus meningkat dalam beberapa minggu ini.

Mereka berkata, pihak berkuasa perlu menggunakan semua sumber yang ada untuk mengesan punca penularannya dalam masyarakat, yang merupakan jawapan untuk menghalang krisis kesihatan daripada berlaku.

Pakar Epidemiologi Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, kunci utama menghentikan pandemik itu daripada mengatasi kemampuan fasiliti kesihatan negeri ialah mengekang keluasan penularannya dalam masyarakat.

“Menggunakan kit antigen dengan banyak (sekurang-kurangnya 100,000 hingga 200,000), mengesan kontak secara besar-besaran serta mengaktifkan semua infrastruktur kuarantin amat perlu (mengekang virus),” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.

Katanya, bantuan kakitangan perubatan yang dihantar dari Semenanjung ke Sabah masih tidak menampung permintaan di dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Jumlah kes kritikal di Sabah meningkat mendadak dan boleh melebihi ICU. Walaupun lebih banyak ventilator dihantar ke Sabah, setiap katil ICU memerlukan empat jururawat dan kelengkapan, maka menghantar lebih banyak ventilator sahaja tidak cukup,” katanya.

Katanya, Sarawak terlalu jauh untuk memindahkan pesakit Covid-19 ke negeri itu sekiranya sistem kesihatan Sabah terdesak.

Menurut beliau, kaedah nilai kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) tidak boleh dijadikan indikator tunggal untuk menentukan sama ada sistem kesihatan tertekan atau tidak.

“Golongan epidemiologi tidak bergantung kepada satu nombor Rt sahaja untuk memantau wabak atau untuk menentukan langkah-langkah pengawalan jangkitan. Saya cadangkan kita menggunakan indeks termasuk indikator seperti kes per kapita, kematian per kapita, ujian positif, Rt bagi kluster tertentu dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Seorang lagi pakar epidemiologi, Prof. Madya Dr. Malina Osman turut menyokong pendapat tersebut.

Beliau berkata: “Selain kadar jangkitan, kita boleh mempertimbangkan bahawa sistem kesihatan semakin terdesak apabila lebih banyak petugas kesihatan dijangkiti dan kes-kes Covid-19 yang kritikal meningkat.

“Satu lagi indikator penting ialah apabila ada ramai pesakit bukan Covid-19 tidak dapat menerima rawatan kerana fasiliti kesihatan ditutup buat sementara waktu,” katanya.

Jelasnya, disebabkan faktor tertentu, Sabah berterusan mencatatkan kes tertinggi walaupun mempunyai Rt hanya 1.26 (pada 30 September) iaitu lebih rendah daripada Selangor Rt 1.95.

“Selain daripada kawasan padat penduduk seperti Selangor, di Sabah, kemungkinan berpunca daripada jangkitan yang meluas.

“Ini mungkin berpunca daripada superspreader D614G yang dikesan dalam kluster Benteng Lahad Datu. Tetapi, saya rasa jangkitan secara meluas kemungkinan besar akibat aktiviti sebelum pilihan raya Sabah,” katanya.

Menurut Dr. Malina, meskipun peningkatan kes Covid-19 di Sabah disebabkan peningkatan jumlah saringan, angka yang ada boleh membawa dua maksud.

“Jika prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat, maksudnya kelemahan adalah keupayaan kita untuk mengesan kontak dan melakukan saringan, namun jika pematuhan SOP boleh dipersoalkan, ini adalah petanda yang tidak baik,” tegasnya.

-BorneoPost

CATEGORIES
Share This