
KKM terima sumbangan RM853,500 dalam pelbagai bentuk
PUTRAJAYA, 8 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menerima sumbangan berbentuk aset dan wang tunai berjumlah RM853,500, bagi tujuan memerangi wabak COVID-19.
Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba menerima sumbangan itu daripada penyumbang dan syarikat, dalam satu majlis penyerahan di bangunan KKM, di sini hari ini.
Sumbangan diterima daripada syarikat SNI Sdn Bhd meliputi 1,500 susu colustrum dan 10,000 penutup hidung dan mulut berjumlah RM304,500, manakala U Matrin Worldwide Sdn Bhd menyumbangkan 1,000 pasang pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE), 25,000 penutup hidung dan mulut, dan 1,000 botol cecair pembasmi kuman dengan nilai keseluruhan RM200,000.
Selain itu, Rotol (M) Sdn Bhd menyumbangkan 4,300 kit ujian COVID-19 bernilai RM150,000, Astra Zeneca (50,000 penutup hidung dan mulut bernilai RM119,000), Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd (10,000 PPE dan penutup hidung dan mulut bernilai RM30,000) manakala Malaysia Shipowners’ Association menyumbang wang tunai RM50,000, untuk tabung COVID-19.
— BERNAMA