KKMM tubuh 1,463 Komuniti Harapan Malaysia di seluruh negara – Eddin Syazlee

PASIR MAS,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menubuhkan 1,463 Komuniti Harapan Malaysia (KHM) di seluruh negara.

Timbalan Menteri KKMM Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, KHM ditubuhkan di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Ahli jawatankuasa KHM yang dilantik ini, akan menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi, untuk mendengar segala permasalahan rakyat dan ini akan memberi peluang kepada kerajaan untuk membaiki perkara yang terlepas pandang sebelum ini.

“KHM ini akan diberi sedikit peruntukan, supaya ia boleh diuruskan dengan sistematik dan sebagai perbelanjaan kepada ahli jawatankuasanya untuk melakukan gerak kerja. KHM ini akan dipantau kakitangan Jabatan Penerangan (Japen), yang berada di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Penubuhan KHM Peringkat Parlimen Rantau Panjang, yang turut dihadiri Pengarah Japen Kelantan Lim Ann Teck di sini, hari ini.

Eddin Syazlee berkata Rantau Panjang menjadi tempat pertama pemberian watikah KHM, yang akan ditubuhkan secara berperingkat-peringkat selepas ini.

“Sebanyak 104 KHM ditubuhkan di Kelantan merangkumi satu KHM di peringkat Parlimen dan dua KHM di peringkat DUN. Seramai 13 ahli jawatankuasa dipilih dalam kalangan ahli parti kerajaan, termasuk pegawai Japen,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eddin Syazlee berkata penularan pelbagai berita palsu di media sosial, menyukarkan kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak itu, dilakukan tanpa memikirkan kesan berita palsu tersebut kepada pihak lain.

“Kalau dahulu banyak perkara yang diberi kelonggaran dan kerajaan kini mula bertegas dan mengambil tindakan terhadap penyebar berita palsu.

“Ada individu yang telah dibuktikan bersalah di mahkamah dan dikenakan hukuman penjara serta denda, dan saya berharap ia dapat menjadi iktibar kepada pelaku yang masih terlepas daripada terus melakukan perkara itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )