KLBA beri insentif RM25,000 kepada pemain, jurulatih cipta kejayaan di Tokyo

KLBA beri insentif RM25,000 kepada pemain, jurulatih cipta kejayaan di Tokyo

KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) semalam menyampaikan insentif berjumlah RM25,000 kepada pemain dan jurulatih badminton negara yang meraih kejayaan di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang memenangi pingat emas kelas SU5 (kecacatan fizikal) di Tokyo menerima habuan tertinggi iaitu RM10,000 sementara pemain beregu lelaki Soh Wooi Yik menerima RM5,000 atas kejayaannya merangkul pingat gangsa bersama gandingannya Aaron Chia.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann dan jurulatih skuad badminton para Datuk Rashid Sidek turut menerima insentif berjumlah RM3,000 seorang sebagai penghargaan memastikan kejayaan di Tokyo tercapai.

Presiden KLBA Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata pemberian insentif tersebut bagi meraikan kejayaan pemain dan pegawai terlibat yang juga bekas pemain pernah bernaung di bawah KLBA sebelum ini.

“Kami (KLBA) terus menjadi satu daripada tunjang utama bagi badan induk badminton negara dalam menyediakan bakat-bakat baharu yang berkualiti kepada pasukan badminton kebangsaan.

“Liek Hou menyertai KLBA ketika usianya 10 tahun pada 2000 sementara bakat pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 iaitu Wooi Yik dikesan KLBA pada 2008 ketika berusia 10 tahun,” katanya pada Majlis Meraikan Atlet dan Jurulatih Badminton Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini semalam.

Pada masa sama, turut diberikan insentif berjumlah RM2,000 adalah pemain perseorangan wanita negara Soniia Cheah dan pemain beregu wanita Chow Mei Kuan.

“Soniia menjadi sebahagian daripada ahli keluarga KLBA pada 2003 manakala Mei Kuan menyertai kami pada 2004. Kami berbangga untuk melihat mereka semua yang juga bakat dilahirkan daripada KLBA,” tambah Jahaberdeen.

Sementara itu, beliau berkata KLBA akan memastikan visi jangka masa panjang BAM yang mahukan semua ahli gabungan memainkan peranan besar bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu.

Kerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan sedang dijalankan untuk menambah jumlah gelanggang badminton sebagai satu daripada usaha merealisasikan aspirasi KLBA menjadikan sukan badminton bukan sahaja sebagai budaya gaya hidup sihat di Kuala Lumpur tetapi juga sebagai sukan untuk seisi keluarga.

“KLBA juga akan melancarkan Projek Jejak Juara untuk tempoh lima tahun yang mana kami bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan pusat latihan secara zon dilakukan.

“Sekolah akan dilengkapi dengan sistem pendidikan dan kejurulatihan tentang badminton sebaiknya dengan harapan untuk melihat pusat ini dapat melahirkan ramai bakat muda sekali gus digilap menjadi jaguh masa hadapan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This