KLK Land serah rumah ‘Hibiscus 3’ Rumah Selangorku kepada pemilik rumah

KUALA LUMPUR,. KLK Land Sdn Bhd (KLK Land) dengan rasminya menyerahkan fasa dua rumah “Hibiscus 3” Rumah Selangorku (RSKU), di Bandar Seri Coalfields, kepada pembeli.

Bersempena dengan upacara itu hari ini, 10 pemilik rumah dua tingkat Hibiscus 3 dipilih untuk menerima kunci yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat.

Dalam kenyataan hari ini, KLK Land berkata berikutan mendapat respons menggalakkan bagi fasa satu Hibiscus 2 RSKU, syarikat melancarkan projek Hibiscus 3 pada September 2017, merangkumi 274 unit rumah teres dua tingkat berharga RM220,000 sebuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Bhd Tan Sri Lee Oi Hian berkata pembinaan Hibiscus 3 mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

“Kami komited dalam menyokong inisiatif kerajaan negeri untuk membina lebih banyak rumah yang diperlukan orang ramai.

“Kami akan menjadikan rumah mampu milik sebagai sebahagian yang penting dalam projek perumahan kami dan memainkan peranan kami dalam membantu orang ramai untuk mencari dan mendapatkan rumah mampu milik, dan pada masa yang sama menikmati gaya hidup berkualiti yang ditawarkan KLK Land,” katanya.

KLK Land ialah anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Bhd, yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )