Koronavirus: keadaan di Malaysia tidak kritikal buat masa sekarang – Dr Mahathir

Koronavirus: keadaan di Malaysia tidak kritikal buat masa sekarang – Dr Mahathir

KLANG,. Keadaan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia belum lagi sampai di peringkat kritikal, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Buat masa sekarang ia belum lagi kritikal hingga kita perlu menghalang pelancong, contohnya. Kita perlu menilai bila peringkatnya kritikal. Namun kita akan terus melakukan pemeriksaan ke atas pelancong, apabila terdapat beberapa petunjuk yang mungkin telah dijangkiti,” katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan negara mengambil beberapa langkah kerana ia sesuatu yang amat serius memandangkan kita tidak mengenali penyakit ini sebelum ini.

“Bagaimanapun, manifestasi penyakit ini agak sukar dikesan. Ini persoalannya apabila orang ramai boleh bergerak dan pergi ke mana-mana dengan amat pantas. Sebelum anda boleh mengesan seseorang itu sakit, dia telahpun sampai ke destinasinya, jadi kita terpaksa menerima bahawa satu kawalan sepenuhnya adalah suatu yang mustahil,” katanya.

Rumah terbuka itu dihoskan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Klang (KCCCI) yang turut dihadiri oleh beberapa menteri kabinet.

Dr Mahathir berkata, setakad ini kerajaan belum ada rancangan untuk menghalang pelancong dari Wuhan, China daripada memasuki negara ini.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk kuarantin semua pelancong China dan negara lain yang dijangkiti sejurus memasuki negara ini, Dr Mahathir berkata tindakan itu tidak sesuai dilaksanakan memandangkan jumlah pelancong negara berkenaan yang memasuki negara ini meningkat sehingga dua juta orang.

“Pelancong dari China kadang-kadang meningkat sehingga dua juta. Kita nak simpan dia di mana? Jadi yang mana ada simptom, ada sikit sign pun kita kuarantin mereka. Anda boleh hantar pulang mereka ke China tetapi dalam proses menghantar mereka pulang, mereka akan bersentuhan dengan orang lain. Adalah lebih baik mereka dikuarantin terlebih dahulu sehingga mereka menunjukkan tiada tanda, barulah kita hantar mereka pulang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, adalah lebih mudah jika seseorang yang telahpun mempunyai penyakit lain untuk dijangkiti dengan virus baharu ini, itulah sebabnya kerajaan perlu bekerja di luar sistem yang mana kita boleh mengasingkan mereka dengan cepat pada masa hadapan.

“Kita juga tidak pasti mengenai rawatan. Jadi buat masa sekarang ia melibatkan pencegahan dan bukan rawatan… dan pencegahan melibatkan memakai topeng mulut dan hidung dan jauhi tempat ramai orang, yang disyaki mempunyai penyakit itu,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di China dan negara yang turut dijangkiti virus berkenaan untuk mengambil langkah sewajarnya dengan menggunakan topeng mulut dan hidung bagi mengelakkan jangkitan.

“Mereka akan diperiksa untuk menentukan mereka tidak dijangkiti oleh virus ini sebelum mereka balik ke tanah air,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan China mengambil tindakan tegas dengan mengasingkan mereka yang dijangkiti oleh penyakit itu yang bermula di Wuhan dan menghalang mereka daripada bergerak keluar.

“Kerajaan China juga telah mengenakan kuarantin kepada seluruh 11 juta penduduk (di Wuhan), ini satu tindakan drastik dan ia menunjukkan ketegasan kerajaan China bagi mengawal penyakit itu,” katanya.

Setakat ini, empat disahkan kes Koronavirus yang dikesan di negara ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This