
KPDNHEP jamin bekalan tepung gandum mencukupi di Sarawak
KUCHING, 1 Mei — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak memberi jaminan bekalan tepung gandum di negeri itu mencukupi bagi menampung pemintaan pada musim perayaan ini.
Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata dua kilang pengeluar utama tepung gandum di negeri ini iaitu Sarawak Flour Mill Sdn Bhd dan FFM Grains and Mills telah memaklumkan bahawa bekalan gandum mereka mencukupi untuk menampung pusingan pengeluaran bagi tempoh tiga bulan akan datang.
“Kita dimaklumkan bahawa kadar pengeluaran bagi kedua-dua kilang tersebut adalah sebanyak 3,000 metrik tan sebulan untuk menampung pemintaan rakyat Sarawak pada musim perayaan ini di mana penghantaran stok-stok gandum ini dilakukan di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemantauan dan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit akan terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap bekalan barangan terutama barangan kawalan sentiasa mencukupi.
“Sehingga 29 April lepas, kita telah memeriksa sebanyak 15,872 buah premis peniagaan dan menghasilkan 407 kes, dengan nilai rampasan berjumlah RM2,443,476.38 serta kompaun keseluruhan sebanyak RM85,650,” katanya.
— BERNAMA