
KPDNHEP rampas jersi tiruan bernilai RM13,000
SANDAKAN,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 125 helai jersi pelbagai jenama tiruan bernilai RM13,917.20 dalam serbuan keatas sebuah premis menjual peralatan sukan di Pusat Bandar Sandakan, pagi kelmarin.
Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Mohamad Hashim berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun bagi membantu siasatan.
“Hasil risikan maklumat awak selama dua minggu terhadap sebuah premis menjual peralatan sukan ekoran aduan orang awam berhubung premis itu disyaki menjalankan aktiviti menjual barangan tiruan dalam kedai,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat serbuan jam 10 pagi kelmarin dengan merampas 125 helai jersi pelbagai jenama seperti Adidas, Nike dan Puma bernilai RM13,917.20.
“Jersi-jersi berkenaan dipercayai dicetak logo pasukan kelab-kelab bola sepak antarabangsa,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat KPDNHEP Sandakan, Batu 7, di sini semalam.
Mohamad berkata, jersi yang siap dicetak itu dalam kategori gred A jersi tiruan kemudiannya dijual pada harga sama dengan harga jersi tulen.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.
“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum terhadap suspek sebanyak RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan ke atas pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan,” katanya.
Mohamad berkata, KPDNHEP Sandakan menegaskan kepada peniaga supaya menjual barangan tulen yang mana terjamin dari sudut kualitinya kepada pengguna.
“Sementara pengguna pula dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran bagi melindungi hakcipta dagang yang tidak ditiru sewenang-wenangnya untuk dijual demi mengaut keuntungan dengan cara yang mudah,” katanya.