KPDNHEP sasar peningkatan 2.5 peratus hasil jualan KBBM

KPDNHEP sasar peningkatan 2.5 peratus hasil jualan KBBM

SEREMBAN,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan peningkatan 2.5 peratus hasil jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata kementerian optimis hasil jualan KBBM akan melebihi RM3.2 bilion yang dicapai tahun lepas, susulan peningkatan aktiviti ekonomi yang semakin rancak selepas dua tahun negara dilanda pandemik COVID-19.

“Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) menawarkan barangan pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada biasa.

“Mydin antara pemain industri yang aktif menganjurkan PJKM bersama KPDNHEP di cawangan MYDIN di seluruh negara sejak ia dilaksanakan pada 2 Disember 2021,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ulang tahun Mydin ke-65 bertemakan ‘Bersama Keluarga Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia’ di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Pelbagai jualan murah untuk #KeluargaMalaysia sempena Sambutan Ulang Tahun Mydin Ke-65 di Mydin Seremban 2 dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, semalam. -Gambar Bernama

Menurut Rosol, PJKM yang kini dikenali sebagai Program Jualan Murah Keluarga Malaysia, akan diadakan bermula esok di 222 kawasan Parlimen serta 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

Dalam pada itu, Ameer berkata sempena ulang tahun syarikat itu, Mydin menawarkan promosi dan penjimatan berganda bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata pihaknya mendapat kerjasama 84 rakan strategik Mydin terdiri daripada pelbagai jenama antaranya MyDebit, Atome, PnG, Shopee, Boost dan pelbagai lagi.

“Kempen tersebut bertujuan menghidupkan kembali perniagaan tempatan khususnya industri kecil dan sederhana yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Katanya pelanggan yang ingin menikmati harga diskaun ini boleh mendaftar sebagai Ahli Kad Meriah dan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web Mydin.my.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This