KPDNHEP tunggu penjelasan sebelum ambil tindakan terhadap hospital swasta

KPDNHEP tunggu penjelasan sebelum ambil tindakan terhadap hospital swasta

KANGAR, 17 Mei — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih menunggu penjelasan (tunjuk sebab) daripada sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur,  yang didakwa menjual pelitup separuh muka tiga lapisan pada harga RM11.20 sekeping.

Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah memulakan siasatan dan akan mengambil tindakan selepas menerima jawapan daripada hospital berkenaan .

“Harga yang ditetapkan bagi sekeping pelitup itu ialah RM1.50 dan saya difahamkan bahawa hospital swasta berkenaan mengenakan harga sehingga RM11.20 sekeping dan ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasaraya Giant dan Pasar Besar Sena, dekat sini hari ini.

Menurut beliau, KPDNHEP telah melakukan siasatan dan serbuan terhadap hospital itu selepas menerima aduan daripada orang awam dan kes disiasat di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) kerana menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal (pelitup separuh muka tiga lapisan) melebihi harga maksimum.

Bernama sebelum ini (15 Mei) melaporkan KPDNHEP menjalankan siasatan terhadap sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur yang didakwa mengenakan harga pelitup separuh muka tiga lapisan melebihi harga siling yang ditetapkan.

Berdasarkan aduan orang awam, hospital berkenaan mengenakan bayaran RM201.60 untuk 18 keping pelitup separuh muka tiga lapisan atau bersamaan RM11.20 sekeping.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata barang keperluan harian di seluruh negara adalah mencukupi, menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, berdasarkan tinjauan yang dibuat, pihaknya mendapati terdapat kenaikan harga ayam.

“Berdasarkan aduan orang awam kita telah melakukan siasatan dan 103 notis telah dikeluarkan sehingga pagi ini dan ia mungkin akan bertambah menjelang Hari Raya nanti.

“Kita berharap pengguna akan terus membuat aduan kepada KPDNHEP agar tindakan dapat diambil kepada peniaga yang ingkar,” katanya.

Rosol berkata pengguna perlu bijak dalam melakukan pembelian dengan membuat perbandingan harga  terlebih dahulu kerana ada premis perniagaan yang menjual barang pada harga yang lebih rendah.

“Daripada laporan yang saya terima, terdapat peniaga yang menaikan harga ayam sehingga RM9.60 sekilogram berbanding harga yang sepatutnya RM6.00 sekilogram,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This