KPKT peruntuk RM8.9 juta bangunkan kawasan pelancongan, jana pendapatan PBT

KPKT peruntuk RM8.9 juta bangunkan kawasan pelancongan, jana pendapatan PBT

PORT DICKSON,. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan dana sebanyak RM8.9 juta bagi kerja penyelenggaraan dan membaik pulih kemudahan pelancongan di tiga lokasi di dalam negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata daripada jumlah itu sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kawasan Hulu Selangor, Selangor; RM2 juta untuk Kota Tinggi, Johor dan RM1.9 juta bagi Port Dickson, Negeri Sembilan bertujuan menjana pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan berkenaan.

Katanya, peruntukan itu adalah menerusi peruntukan Bahagian Pembangunan 1 iaitu projek-projek kecil di kawasan PBT dengan tumpuan diberikan kepada lokasi pelancongan.

“Kita mahu tumpukan di kawasan pelancongan yang mendatangkan hasil kepada PBT, di Port Dickson kita peruntuk RM 1.9 juta memandangkan ia bandar pelancongan membabitkan 11 pantai dengan beberapa tema termasuklah ‘urban, leisure dan sports beach’.

“Pada peringkat permulaan, peruntukan itu adalah bagi kerja menaik taraf gerai, kawasan riadah dan medan selera,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama bahagian Penggerak Komuniti Tempatan Negeri Sembilan, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam usaha membangunkan kawasan peranginan tepi pantai berkenaan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Port Dickson di Kuala Lukut yang terbengkalai sebelum ini akan diteruskan dan dijangka siap 30 Jun ini membabitkan 659 unit rumah.

“Sepatutnya projek itu siap pada Disember tahun lepas, tetapi oleh kerana isu COVID-19 dan sebagainya, kita di bawah akta COVID-19 ada pelepasan sebanyak 167 hari…insya-Allah siap 30 Jun, akan dapat penyerahan kunci nanti,” katanya.

Katanya, projek berkenaan secara purata telah siap 75 peratus selain turut mendapat permohonan sepenuhnya daripada orang ramai dan 80 daripada permohonan itu telah mendapat kelulusan pembiayaan daripada bank.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM6.5 juta telah diperuntukkan bagi membaiki cerun runtuh yang berlaku di Taman Desa Rusa, Port Dickson, baru-baru ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )