KPM rujuk PKD dalam mengekang penularan COVID-19 di sekolah

KPM rujuk PKD dalam mengekang penularan COVID-19 di sekolah

KOTA BHARU,. Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan sebarang pandangan dan langkah dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya akan mematuhi segala nasihat daripada PKD sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan wabak berkenaan di sekolah.

“Dalam konteks COVID-19, sepertimana saya jelaskan sekiranya berlaku apa-apa, kita merujuk kepada PKD kerana pihak berkenaan lebih pakar.

“Apa sahaja pandangan, kementerian akan mematuhi nasihat berkenaan demi keselamatan anak-anak,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Gerakan Massa: ‘Terima Kasih Cikgu’ sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 Tahun 2021 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Radzi turut mengingatkan pihak sekolah termasuk ibu bapa supaya memastikan murid serta pelajar supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Radzi berkata walaupun berdepan situasi yang sukar dalam pembukaan semula sesi persekolahan termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi pihaknya berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Ini satu masa yang sukar, namun Alhamdulillah kita sudah melihat bagaimana peperiksaan SPM berjalan dengan lancar apabila SOP dapat dipatuhi dengan baik.

“Pada masa sama, kita dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan yang selamat,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )