KPM wujudkan persekitaran sekolah selamat walau pelajar belum divaksin sepenuhnya

KPM wujudkan persekitaran sekolah selamat walau pelajar belum divaksin sepenuhnya

PUTRAJAYA,. Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan persekitaran yang ada selamat untuk murid kembali semula ke sekolah secara berperingkat dengan kaedah penggiliran bermula 3 Oktober ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata walaupun semua pelajar di seluruh negara masih belum menerima suntikan vaksinasi COVID-19 sepenuhnya, kementerian akan memastikan semua ekosistem di sekeliling murid di sekolah adalah divaksinkan.

Katanya pendekatan itu bukanlah yang baharu memandangkan banyak negara menggunakan pendekatan yang sama apabila program vaksinasi berjalan selaras dengan pembukaan semula sekolah.

“Program vaksinasi untuk murid sekolah berumur 12 hingga 17 tahun ini baru sahaja dimulakan… pada masa yang sama murid di sekolah rendah masih boleh belum divaksinkan lagi.

“Jadi, kita ambil kira apakah yang terbaik untuk anak-anak kita dan pada masa yang sama memastikan bahawa kehadiran mereka ke sekolah ini telah diberi penekanan kepada aspek keselamatan.

“Jadi kita buka kepada anak-anak untuk kembali ke sekolah, kita wujudkan persekitaran (yang selamat), kita mengurangkan risiko dalam memastikan kehadiran mereka ke sekolah adalah dalam keadaan yang selamat,” katanya dalam sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Radzi berkata setakat semalam, 88.56 peratus guru telah melengkapkan suntikan vaksin dan 97.46 peratus telah menerima dos pertama, manakala bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) 83.38 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin dan 99.96 peratus mendapat satu dos suntikan.

Untuk pekerja perkhidmatan sokongan (PPS) seperti petugas perkhidmatan kebersihan, keselamatan serta pengendali dan pekerja dewan makan dan kantin sekolah, sebanyak 74.90 peratus telah melengkapkan vaksinasi dan 90.59 peratus telah menerima satu dos vaksin.

“Dalam semua keadaan, kita menegaskan mereka yang berada di sekolah pada satu-satu masa telah divaksinkan termasuklah pekerja di kantin dan dewan makan,” katanya sambil mengulangi guru yang enggan divaksin tidak akan mengajar secara bersemuka di dalam kelas.

Mengenai perkhidmatan bas sekolah, Radzi menasihati ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap status vaksinasi pemandu bas sekolah persendirian untuk tindakan.

Katanya bagi pengusaha bas sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan, pihaknya telah mendapatkan senarai tersebut dan mengadakan perbincangan dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk memastikan mereka divaksin.

Dalam pada itu, Radzi berkata waktu persekolahan masih berjalan seperti biasa untuk memberi kelonggaran kepada pihak sekolah untuk memastikan kemasukan dan penyuraian murid secara berperingkat dapat terus dilaksanakan.

“Jadi walaupun hanya 50 peratus kapasiti kehadiran murid, sekolah perlu memastikan bila waktu bersurai secara berperingkat dan kemasukan secara berperingkat bagi memastikan ada ruang masa untuk proses tersebut dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )