KPN melancar Program Galeri Uniti

KPN melancar Program Galeri Uniti

KUALA LUMPUR,. Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang telah hadir menyempurnakan Program Galeri Uniti bertempat di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju pada Jumaat.

Program ini telah memasuki edisi ke-lima sejak penganjurannya dan merupakan salah satu inisiatif di bawah flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI.

Program anjuran bersama AEON Co. (M) Bhd ini berlangsung selama tiga hari bermula 10 Mac sehingga 12 Mac 2023.

Menurut Aaron, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui platform yang lebih santai.

Program ini turut memberi peluang masyarakat mempelajari dan memahami keunikan dan kepelbagaian adat, budaya, dan kaum di Malaysia.

Kementerian dalam masa yang sama meneroka lebih banyak tapak integrasi sosial di mana rakyat dapat berinteraksi antara satu sama lain serta mencipta feel good factor.

Selain elemen kepelbagaian budaya, segmen kenegaraan yang menerapkan semangat patriotisme turut disusun sepanjang program berlangsung.

Antara pengisian utama program ini adalah Panel Moment of Unity yang memaparkan detik-detik perpaduan serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Selain itu, juga terdapat Persembahan Kebudayaan Pelbagai Etnik yang mengetengahkan kebudayaan tradisional pelbagai etnik.

Tambahan, Pameran Rumah KAMI menawarkan maklumat berkaitan pakaian, makanan dan sukan rakyat pelbagai etnik termasuklah masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.

Pameran oleh agensi KPN Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Muzium Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia serta Arkib Negara Malaysia turut diadakan sepanjang tempoh Program Galeri Uniti ini.

Aaron turut merakamkan penghargaan beliau kepada pihak AEON (M) Co. Bhd di atas kerjasama yang konsisten bersama Kementerian dalam menggalas usaha merealisasikan aspirasi perpaduan nasional.

CATEGORIES
TAGS
Share This