KPPK terus bela nasib pekebun kecil daripada propaganda anti minyak sawit

KPPK terus bela nasib pekebun kecil daripada propaganda anti minyak sawit

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertekad untuk terus berjuang melawan kempen anti minyak sawit demi memastikan nasib pekebun kecil terus terbela.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kementerian itu juga bertekad untuk memastikan punca rezeki pekebun kecil tidak akan disekat oleh propaganda anti minyak sawit oleh sesetengah blok barat.

“Kami akan terus mendidik masyarakat berhubung salah faham mengenai minyak sawit menerusi “Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”

“Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit berjuang bersama kami mempertahankan komoditi utama negara kita ini dengan semangat “Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam semangat meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65, KPPK telah menerbitkan klip video berdurasi tiga minit bertajuk ‘Tanah Ini Milik Kita’ yang memaparkan kisah pengorbanan keluarga pekebun kecil memanfaatkan tanah mereka dengan menanam kelapa sawit.

“Video ini juga bertujuan untuk menutup ruang jentera propaganda Barat, khususnya yang melemparkan dakwaan bahawa sektor perladangan sawit di negara kita dilakukan dengan memusnahkan banyak kawasan hutan dalam negara.

“Melalui hasil karya ini, kita menyaksikan kisah tiga sekeluarga, bagaimana si ayah, ibu dan anak perempuan mereka diberi kelulusan oleh pihak berkuasa tanah untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit melalui prosedur yang betul, bukannya secara penerokaan haram seperti yang kerap dimomok-momokkan melalui kempen anti minyak sawit.

“Ini mengukuhkan lagi justifikasi bahawa setiap pekebun di dunia ini mempunyai hak untuk bertani, mengusahakan tanaman apa pun demi kelangsungan hidup – satu jaminan di bawah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Asasi Petani dan Rakyat Yang Bekerja di Luar Bandar,” katanya.

Malaysia mempunyai lebih 461,303 pekebun kecil dan tambahan 1.8 juta individu lagi yang kehidupan mereka bergantung sepenuhnya daripada rezeki yang dijana daripada hasil sawit.

Zuraida berkata kerajaan Malaysia pada 2019 telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit tidak boleh melebihi 6.5 juta hektar.

“Pada 2022, Malaysia telah membangunkan seluas 5.8 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit – sama ada oleh pekebun kecil atau syarikat perladangan besar – dengan baki 700,000 hektar lagi yang belum lagi diterokai bagi penanaman sawit,” katanya.

Walaupun sektor perladangan sering dianggap sebagai punca utama kemusnahan hutan, perlu ditekankan bahawa pada 2019, sebanyak 24 peratus daripada keluasan tanah digunakan oleh sektor penternakan, manakala perladangan pula hanya sebanyak 29 peratus, katanya.

Daripada penebangan pokok untuk laluan kepada 29 peratus keluasan ladang itu pula, perlu ditegaskan bahawa tanaman yang paling banyak menyumbang kepada pemusnahan hutan adalah kacang soya iaitu (19 peratus keluasan) diikuti jagung (11 peratus), manakala kelapa sawit hanya lapan peratus, sawah padi (enam peratus) dan tebu (11 peratus).

“Justeru, Malaysia berusaha menjalin hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat bagi mewujudkan situasi menang-menang yang akan memberi manfaat kepada industri minyak sawit secara keseluruhan, walaupun kedua-dua blok perdagangan berkenaan yang juga kuasa ekonomi dunia, kekal menentang keras perdagangan minyak sawit sejak tahun 2003 lagi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This