KTS Group sumbang 10,000 kit ujian COVID-19 kepada kerajaan

KTS Group sumbang 10,000 kit ujian COVID-19 kepada kerajaan

KOTA KINABALU,. Syarikat KTS Group mengambil langkah prihatin dengan memberi sumbangan sebanyak 10,000 kit ujian COVID-19 kepada kerajaan negeri.

Pengarah Urusan KTS Group Datuk Henry Lau berkata, langkah berkenaan bagi memastikan situasi mencabar yang dihadapi negara dalam membendung wabak COVID-19 dapat ditangani sebaiknya.

Menurutnya, ia juga sebagai tanda keprihatinan pihak KTS Group terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja keras menyelamatkan nyawa orang ramai sejak dari awal penularan COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan berkenaan daripada KTS Group yang diwakili oleh Pengurus Operasi Kawasan KTS Trading Sabah Wong Kee Mee di sini.

Terdahulu, KTS turut menyediakan sumbangan Alat Perlindungan Diri (PPE) kepada kerajaan negeri untuk disalurkan kepada warga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Ia termasuklah 6,000 bahan perlindungan perubatan (steril); 6,000 helai gaun pengasingan (bukan steril); 24,000 helai sarung tangan; 12,000 pasang sarung kasut; 6,000 pelindung mata; 6,000 pelindung muka; 56,000 helai pelitup muka jenis KN95; 107,850 helai pelitup muka pakai buang; dan 6,000 pelindung kepala.

Kesemua alat berkenaan terutamanya bahan pakai buang amat diperlukan dan amat bermanfaat untuk membantu petugas barisan hadapan.

Turut hadir, Pengurus Kanan Pejabat Kawasan KTS Trading Sabah Paul Hii, Pengurus Cawangan KTS Trading KK Wong Nyuk Tai, dan Pemangku Pengurus Operasi See Hua Sabah Toh Lu Hung.

CATEGORIES
TAGS
Share This