Kualiti air Tasik Timah Tasoh perlu dipelihara

PADANG BESAR/PERLIS,. Aktiviti manusia sekitar TasikTimah Tasoh seperti aktiviti perindustrian, pertanian, kuari dan perbandaran menyumbang kepada perubahan kualiti air dan alam sekitar di tasik buatan manusia yang terletak kira-kira 17 km dari bandar Kangar ini.

Walaupun tahap pencemaran air dan alam sekitar di tadahan air itu tidak terlalu serius ketika ini, ia dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya tiada usaha tegas dilakukan pihak berkuasa bagi memelihara kawasan yang menjadi nadi kepada pembangunan pertanian bersepadu, di samping menyumbang kepada kawalan banjir di sini.

Tinjuan Bernama mendapati sikap tidak bertanggung jawab sesetengah pengunjung membuang sampah ke dalam air dan pinggir tasik bukan hanya mencacatkan mata memandang, malah boleh menyumbang kepada kepada pencemaran air dan alam sekitar yang lebih serius.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail berkata kajian yang dilakukan mendapati bahawa berlaku penurunan kualiti air di empangan Timah Tasoh, yang boleh memberikan kesan kepada populasi dan kualiti haiwan bentos yang menjadi makanan burung air termasuk burung-burung hijrah.
“Pencemaran bahan kimia seperti racun perosak juga boleh menurunkan kualiti air tasik dan boleh berkumpul dalam badan haiwan ‘bentos’ (haiwan di dasar tasik) dan seterusnya boleh masuk ke dalam sistem jaringan makanan termasuk burung hijrah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata burung-burung berhijrah singgah di tasik Timah Tasoh semasa musim sejuk di hemisfera utara antara bulan Oktober hingga Mac setiap tahun, dan habitat di sini menyediakan makanan dan tempat tinggal sementara untuk burung berhijrah.

Menurutnya kesesuaian Tasik Timah Tasoh ini sebagai habitat burung telah mendorong badan antarabangsa BirdLife International mengiktiraf kawasan ini sebagai tempat penting bagi burung-burung atau kepelbagaian biologi.

“Sebanyak 135 hingga 145 spesies burung-burung pernah direkodkan di tasik Timah Tasoh. Ini menjadikannya sebagai tarikan peminat burung dan ahli fotografi yang penting,” katanya dan menambah tasik Timah Tasoh terletak dalam laluan EAAF (East Asian Australasian Flyway) iaitu salah satu laluan hijrah penting daripada lapan laluan di dunia.

Sementara itu seorang nelayan darat tasik Timah Tasoh yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Non berkata tasik itu mula dicemari sampah sarap sejak tiga tahun lalu apabila pengunjung yang datang berkelah dan memancing membuang sampah sesuka hati.

“Kami komuniti nelayan darat menganjurkan gotong royong bagi menjaga kebersihan di sini, namun pagi ini bersihkan pinggir tasik, tak sampai petang sampah sudah penuh, menyebabkan kadang-kadang saya rasakan tidak berbaloi, dengan penat,” katanya yang mula mencari rezeki memukat ikan kawasan sini sejak 10 tahun lepas.

Beliau berharap pihak berkuasa mengambil langkah mendidik masyarakat agar lebih bertanggung jawab dan menjaga kebersihan di sekitar tasik sebelum terlambat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )