Kualiti internet menurun, Malaysia masih dalam kedudukan 40 terbaik kesejahteraan digital

Kualiti internet menurun, Malaysia masih dalam kedudukan 40 terbaik kesejahteraan digital

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai salah satu perkhidmatan internet paling berpatutan di dunia, dengan menduduki tempat ke-16 dalam kalangan 117 negara.Secara keseluruhan, Malaysia berada di kedudukan keenam di Asia bagi kesejahteraan digital.

Prestasi itu memperlihatkan Malaysia mampu mencapai kedudukan 40 teratas secara keseluruhan tahun ini, walaupun jatuh tujuh kedudukan berbanding tahun lepas, iaitu daripada kedudukan 31 kepada 38.

Menurut kaji selidik Indeks Kualiti Hidup Digital oleh Surfshark, sebuah syarikat keselamatan siber yang terkenal dengan produk VPN dan antivirus, penduduk di Malaysia boleh membeli 1GB Internet mudah alih untuk 100 saat kerja sebulan, iaitu dua kali lebih murah berbanding Indonesia.

Malah, kos internet jalur lebar adalah pada kadar lebih berpatutan tahun ini berbanding 2021. Indeks Kualiti Hidup Digital ialah kajian yang dilakukan bagi menilai kualiti kesejahteraan digital di 117 negara atau 92 peratus daripada populasi global.

Ia mengambil kira lima aspek digital sesebuah negara iaitu:
– Keterjangkauan internet
– Kualiti internet
– Infrastruktur elektronik
– Keselamatan elektronik
– Pengurusan elektronik

Walau bagaimanapun, antara lima tunggak itu, Malaysia berada pada kedudukan paling teruk bagi kategori kualiti internet, yang perlu ditingkatkan sebanyak 40 peratus untuk menyamai keputusan negara yang menduduki ranking terbaik, Chile.

Dari segi kelajuan, kestabilan dan pertumbuhan internet, Malaysia menduduki tempat ke-41 di peringkat global dan hanya 12 peratus lebih baik daripada purata global. Kelajuan internet mudah alih juga turun ke tempat ke-67 (34.5 Mbps).

Ia perbezaan yang agak ketara berbanding dengan negara jiran, Singapura, yang menikmati sehingga 104 Mbps, meletakkan mereka di tempat kelima dalam kualiti internet dalam kalangan 117 negara di seluruh dunia.

Agensi

CATEGORIES
Share This