Kualiti udara di seluruh negara kekal sederhana dan baik

KUALA LUMPUR,. Keseluruhan 68 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pagi ini mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bawah 100, iaitu paras baik dan sederhana seperti semalam.

Berdasarkan bacaan IPU terkini dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 8 pagi, 58 kawasan mencatatkan kualiti udara sederhana manakala 10 kawasan lain di Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang dan Sarawak berada pada tahap kualiti udara baik.

Hujan di beberapa negeri semalam turut menyumbang kepada kualiti udara yang semakin baik.

Bacaan IPU paling tinggi direkodkan setakat ini adalah di Segamat, Johor iaitu 85, yang masih pada paras sederhana manakala IPU terendah ialah 35 (kategori baik) di Tanjung Malim, Perak.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, meramalkan keadaan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas akan beransur pulih susulan fasa Monsun Peralihan yang bermula pada 24 Sept.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )